Nazdy Harun


Kuala Terengganu: "Kini hanya tinggal empat saja lagi termasuk saya dan sekiranya tidak dipertahankan tidak mustahil industri tembaga akan berkubur buat selamanya," kata Shaiful Sani Zakaria, 38, seorang pengusaha pembuatan tembaga di negeri ini.

Menurutnya, Terengganu adalah satu-satunya negeri pengeluar produk berasaskan tembaga di negara ini namun ketiadaan pelapis mengakibatkan industri itu semakin suram.

"Yang tinggal kini hanya saya dan tiga lagi pengusaha. Sekiranya tiada pewaris atau pelapis yang sanggup untuk menjadi pengusaha berkemungkinan industri ini akan berkubur buat selamanya.

"Permintaan terhadap barangan berasaskan tembaga amat tinggi dan saya sendiri tidak menang tangan menerima tempahan namun satu saja masalah iaitu kekurangan tenaga mahir untuk menghasilkan produk berasaskan logam ini," katanya.

Menceritakan pengalamannya di dalam bidang pembuatan tembaga, Shaiful berkata, selepas tamat alam persekolahan dia terus bekerja di bengkel tembaga di sekitar negeri ini.

Menurutnya, bagi memahirkan diri dalam pembuatan barangan tembaga, dia berguru dengan sembilan tukang tembaga selama 10 tahun sebelum mengambil keputusan mengusahakannya sendiri.

Katanya, barangan dapur berasaskan tembaga yang dihasilkan antaranya kuali, senduk, sudip dan sudu sememangnya mendapat permintaan tinggi yang dijual dengan harga RM20 hingga RM800.

Shaiful berkata, selain itu produk cenderahati juga mendapat tempahan yang tidak putus-putus antara barangan yang dihasilkan melalui tempahan iaitu bekas bara, keris, gong dan replika batu bersurat yang dijual dengan harga RM250 hingga RM38,000.

"Bagi barangan cenderahati biasanya pelbagai motif ukiran akan dilakukan pada produk berkenaan antaranya motif sulur kacang, ketumbit dan awang larat.

"Kelonsong peluru adalah bahan utama dalam penghasilan produk tembaga selain campuran aluminium dan timah mengikut nisbah yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, proses melebur tembaga memerlukan suhu sehingga 1,200 darjah selsius dan proses itu juga dilihat salah satu punca yang mengakibatkan ramai golongan baru tidak meminati dunia pembuatan tembaga.

Katanya, melalui proses yang panas ketika melebur tembaga selain dilihat berbahaya mendorong seseorang individu tidak kekal lama bekerja dalam sektor pembuatan barangan tembaga.

Shaiful berkata, hingga kini dia sudah melatih 20 individu namun kesemuanya tidak mampu bertahan untuk meneruskan kerja pembuatan tembaga dan kini dia hanya ada dua pekerja yang membantunya melakukan kerja di bengkel.

"Saya melihat industri tembaga sememangnya mempunyai peluang yang cerah kerana tiada saingan namun masalahnya hanya satu iaitu tiada pelapis yang ramai untuk menceburi bidang ini.

"Selain itu, saya juga melihat perlunya sebuah buku iaitu buku manual berkaitan campuran dan cara tembaga ini dihasilkan kerana buat masa ini penghasilan barangan tembaga dilakukan mengikut kefahaman seseorang pengusaha tanpa dibukukan," katanya.

Menurutnya, sebagai contoh sekiranya cara pembuatan barangan tembaga ini dibukukan setidaknya generasi akan datang yang ingin memulakan kembali kerja membuat tembaga boleh merujuk kepada buku yang dihasilkan itu.

Katanya, campuran antara tembaga, aluminium dan timah perlu mengikut nisbah tertentu sekiranya tidak mempunyai buku atau nota maka sudah tentu perusahaan ini apabila tidak diwarisi akan berkubur buat selamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 10:59 AM
SHAIFUL Sani melakukan kerja di bengkelnya. FOTO Nazdy Harun
SHAIFUL Sani melakukan kerja di bengkelnya. FOTO Nazdy Harun