Nik Nazmi mengimbas cap jari pada mesin perakam waktu elektronik pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, di Wisma Sumber Asli, Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Nik Nazmi mengimbas cap jari pada mesin perakam waktu elektronik pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, di Wisma Sumber Asli, Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Ilah Hafiz Aziz


Putrajaya: Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui portfolionya sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mencabar disebabkan penggabungan dua kementerian yang besar dan mempunyai pelbagai isu penting.

Bagaimanapun beliau berkata, isu-isu besar dan mendesak seperti perubahan iklim dan keperluan tenaga akan ditangani sepenuhnya untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya golongan B40 terjamin.

Beliau mengakui dua kementerian sebelum ini (Kementerian Alam Sekitar dan Air Kementerian Tenaga; dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) masing-masing sudah mempunyai pelbagai isu penting yang perlu segera ditangani dengan berkesan.

"Melalui nama kementerian (berkaitan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) ini sahaja, kita ketahui ia mempunyai isu yang besar namun ramai orang tidak sedar perkara berkaitan air dan tenaga juga mempunyai isu yang besar dan termasuk dalam di bawah portfolio ini.

"Saya akui ia bebanan kerja yang besar tetapi kita akan lihat satu persatu, lihat isu yang mendesak dan kita cuba bawakan isu yang terbaik.

"Beri saya ruang untuk saya selesaikan beberapa perkara dahulu sebelum kita semak satu persatu sebelum pengumuman apa-apa dilakukan.

"Beri saya ruang sedikit, kerana hari ini hari pertama masuk pejabat dan selepas ini adalah taklimat khas kabinet," katanya.

Beliau hari ini tiba pada hari pertama untuk memulakan tugas sebagai di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Sebelum itu, beliau mengimbas kad perakam waktu pada mesin elektronik tepat jam 8.30 pagi di Wisma Sumber Asli dan turut mengadakan pertemuan bersama pegawai kanan kementerian.

Mengulas mengenai keutamaannya dalam kementerian berkenaan, Nik Nazmi berkata, beberapa perkara yang sebelum ini berulang kali dinyatakannya akan diberi perhatian sebagai menteri.

"Saya pernah menyatakan berulang kali mengenai perubahan iklim, isu banjir, isu alam sekitar dan sebagainya dan kini isu itu tidak lagi hanya cakap-cakap sahaja sebaliknya dituntut orang ramai supaya ia ditangani oleh kerajaan.

"Ia bukan sekadar slogan (di kementerian) sebaliknya akan diambil serius," katanya.

Ditanya mengenai projek kementerian sedia ada termasuk sasaran 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) pada tahun 2040, Nik Nazmi menyatakan perkara itu akan kekal diberi fokus tanpa meninggalkan golongan kurang berkemampuan seperti B40.

"Saya fikir kita harus bergerak ke hadapan dan sudah tentu apabila kita bercakap mengenai perubahan iklim, kita harus memberi keseimbangan terhadap ekuiti (melindungi komuniti dan populasi yang terdedah)

"Setiap projek yang ada kita akan beri fokus namun saya fikir, ketika ini kita harus bergerak ke hadapan disamping memberi perhatian kepada golongan B40 juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 10:48 AM