GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Mesyuarat bagi membincangkan langkah dan persediaan menghadapi fenomena El Nino akan diadakan 22 Februari ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, mesyuarat itu akan turut disertai wakil pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya, kesan fenomena itu sudah dirasai sejak pertengahan tahun lalu dan dijangka berterusan sehingga 18 bulan lagi.

"Sebagaimana kita tahu, El Nino ini lebih kering dan panas.. tahun lalu adalah rekod terpanas dalam sejarah dunia, (jadi) kita akan mengadakan mesyuarat yang biasa kita adakan mengenai cuaca panas dan kering.

"Ia membabitkan beberapa kementerian dan agensi sebab akan ada impak yang besar terhadap pelbagai aktiviti dan kita mahu memastikan persediaan terbaik," katanya pada sidang media Pasca UNFCC-COP28 dan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim di sini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan secara berterusan turut diadakan bagi mengatasi isu kebakaran tanah gambut dan jerebu di negara ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengumumkan fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka berterusan hingga pertengahan tahun.

Selain itu, Nik Nazmi berkata, perbincangan secara berterusan turut diadakan bagi mengatasi isu kebakaran tanah gambut dan jerebu di negara ini.

Beliau berkata, ia termasuk berhubung dengan pihak berkuasa negara jiran, khususnya Indonesia dalam mencapai strategi terbaik menyelesaikan masalah berkenaan.

"Perbincangan ini menyentuh sama ada kebakaran dan jerebu itu berlaku di dalam negara dan luar negara kerana kita tahu seperti tahun lalu cuaca kering adalah soal (memberi kesan) jerebu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 4:14 PM