MAYAT warga emas ditemukan dalam keadaan reput di Tasik Taman Indah, Tanjung Rambutan. FOTO ihsan Bomba
MAYAT warga emas ditemukan dalam keadaan reput di Tasik Taman Indah, Tanjung Rambutan. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Mayat warga emas ditemukan dalam keadaan reput di Tasik Taman Indah, Tanjung Rambutan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata, kehilangan mangsa berusia 62 tahun itu disedari abangnya yang menerima panggilan daripada rakan mangsa kira-kira 7 malam tadi yang ternampak motosikal milik mangsa ditinggalkan selama dua hari di kawasan tasik berkenaan.

Katanya, susulan itu abang mangsa kemudiannya pergi ke rumah mangsa di Kampung Bercham dan menjumpai telefon bimbit adiknya itu bersama nota bertulisan Cina.

"Abang mangsa kemudiannya pergi mencari adiknya itu di Tasik Taman Indah dengan bantuan dari pihak polis bersama bomba sebelum pasukan mencari berhasil menjumpai mayat adiknya itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dengan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:17 PM