Dadah jenis ekstasi, erimin 5 dan ketamin dianggarkan bernilai RM31,365 yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di kawasan Batu Maung, di sini.  FOTO IHSAN PDRM
Dadah jenis ekstasi, erimin 5 dan ketamin dianggarkan bernilai RM31,365 yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan di kawasan Batu Maung, di sini. FOTO IHSAN PDRM
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah jenis ekstasi, erimin 5 dan ketamin dianggarkan bernilai RM31,365 menerusi dua serbuan berasingan di kawasan Batu Maung, di sini, baru-baru ini.

Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya itu turut menahan lapan warga tempatan kerana disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah pada 10.10 pagi, 23 November lalu.

Katanya, seramai enam lelaki bersama dua wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan itu.

"Serbuan kedua juga turut dilakukan di sebuah rumah lain di kawasan dan hari sama, pada 12 tengah hari.

"Menerusi kedua-dua serbuan itu, polis merampas sejumlah pil ekstasi, erimin 5 dan ketamin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jafri berkata, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah.

Berdasarkan risikan, Jafri berkata, dadah berkenaan dipercayai akan diedar di sekitar darah Barat Daya.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan menyita dua buah kereta serta wang tunai berjumlah RM3,000.

"Kesemua suspek sudah direman selama tujuh hari sehingga 30 November lalu," katanya.

Menurut Jafri, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM74,365.

"Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1,926 penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis memohon dan menyambut baik kerjasama masyarakat supaya menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pergerakan atau individu yang mencurigakan terbabit dalam kegiatan salah guna dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:53 PM