Salvemary bersama empat anaknya melihat kereta yang dipamerkan untuk Cabutan bertuah pengunjung yang datang ke tapak MSAM 2022 di Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Salvemary bersama empat anaknya melihat kereta yang dipamerkan untuk Cabutan bertuah pengunjung yang datang ke tapak MSAM 2022 di Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tawaran hadiah tiga kereta sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 menjadi daya tarikan pengunjung untuk hadir ke program itu sejak dibuka pada 24 November lalu di Batu 1, Jalan Pantai, di sini.

Tiga kereta masing-masing jenis Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000, Toyota Corolla Cross Hybrid Electric (RM140,000) dan Perodua Alza 1.5 AV (RM75,500) ditawarkan kepada pemenang.

Tinjauan media pada hari ketiga MSAM 2022 mendapati kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan itu kerana teruja dengan hadiah ditawarkan.

Anggota tentera, Faizam Ali, 37, berkata, dia mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu untuk menbawa isteri dan empat anaknya berkunjung ke MSAM 2022.

"Rugilah kalau tidak mencuba, mana tahu dapat kereta percuma?. Anak-anak juga teruja dan inilah antara yang menarik di sini.

"Bagi saya, bukanlah berharap sangat tetapi kalau ada rezeki tidak mustahil kerana nama pun cabutan bertuah, ada rezeki dan tuah, kita menang.

"Tetapi pada saya keseluruhannya banyak manfaat kepada pengunjung yang hadir di sini," katanya.

Pekerja swasta, Salvemary Sandaran, 42, berkata, dia tinggal di Lukut tetapi baru hari ini berpeluang melihat secara dekat MSAM 2022.

"Seronok anak-anak bila dibawa ke sini kerana dapat melihat program bertaraf antarabangsa khususnya untuk orang Malaysia dibuat di Port Dickson.

"Kalau boleh saya nak menang Perodua Alza 1.5 AV, cukuplah, itu pun dah berbaloi," katanya.

Peniaga, Mohd Firdhaus Md Harun, 41, berkata, dia mengetahui mengenai program itu melalui akhbar dan ia menawarkan pelbagai hadiah untuk dimenangi pengunjung.

"Tidak salah kalau kita mencuba, mana tahu ada rezeki untuk menang hadiah utama kerana ia atas rezeki seseorang, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

"Selain hadiah utama, turut ditawarkan tujuh motosikal untuk dimenangi mereka yang bertuah.

"Program ini juga secara tidak langsung memberi pendedahan kepada kita cara menguruskan kewangan secara bijak," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 5:24 PM