Abdullah bersama isteri, Nabilah dan dua anaknya ketika ditemui di MSAM 2022 di Port Dickson. MOHD KHIDIR ZAKARIA
Abdullah bersama isteri, Nabilah dan dua anaknya ketika ditemui di MSAM 2022 di Port Dickson. MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang penjawat awam dari Pasir Mas, Kelantan sanggup 'terbang' ke Kuala Lumpur sebelum menaiki kenderaan awam ke Negeri Sembilan untuk menghadiri program Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 yang diadakan di sini.

Abdullah Muhammad, 41, yang bertugas di Jabatan Pendidikan Daerah Pasir Mas datang bersama isteri, Nabilah Abd Rahim, 39, serta dua anaknya berusia 11 dan 17 tahun dengan menaiki pesawat dari Kota Bharu, Kelantan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Sabtu lalu.

"Ini kali kedua saya datang bersama keluarga kerana ingin mendapatkan pelbagai maklumat terutama mengenai ASN Sukuk serendah RM10 yang diperkenalkan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

"Kami adalah 'pelabur tegar'. Kami bermula dari bawah dengan membuat pinjaman sebanyak RM15,000 dari syarikat swasta tempat saya kerja dahulu untuk melabur," katanya ketika ditemui di tapak MSAM 2022, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, bermula dengan pinjaman itu, mereka membuat pusingan modal untuk menyertai pakej saham amanah lain yang turut disertai isteri dan anak-anak.

Katanya, pelaburan itu sebagai tabungan untuk hari tua dan masa depan keluarga.

Menurutnya, berkata, dia mula ikut program MSAM sejak 2020, namun ketika itu diadakan secara dalam talian kerana negara dilanda pandemik Covid-19.

"Bila dapat tahu MSAM 2022 diadakan di Port Dickson secara besar-besaran tahun ini, kami terus mengambil peluang datang sekeluarga dengan menaiki pesawat dan mengambil kenderaan awam untuk sampai ke sini.

"Sepanjang berada di sini, kami menggunakan kesempatan sepenuhnya untuk mencari peluang dan ruang bagi menambah pelaburan," katanya.

Abdullah berkata, pelaburan adalah satu cara untuk keluar dari kemiskinan.

"Saya bermula dari bawah dengan membuat pinjaman walaupun ketika itu gaji saya di bawah RM1,000 sebulan.

"Alhamdulillah selepas lebih dua tahun kami sekeluarga 'ikat perut' membuat pinjaman sehingga RM200,000, kini kami ada modal pusingan sebanyak RM800,000," katanya.

Katanya, MSAM 2022 di Port Dickson juga menarik kerana terdapat cabutan bertuah yang menawarkan tiga kereta dan pelbagai hadiah yang ditawarkan kepada pengunjung.

"Rugi kepada yang tak datang terutama mereka yang tinggal berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 5:22 PM