DATUK Seri Anwar Ibrahim menandatangani Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
DATUK Seri Anwar Ibrahim menandatangani Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perlantikan sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM sebagai institusi keselamatan negara akan terus memberikan komitmen dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam kekal terjamin di bawah pentadbiran Perdana Menteri.

"Dalam proses peralihan kepimpinan kerajaan yang berlangsung, PDRM meminta kerjasama semua pihak untuk menerima baik proses demokrasi tanpa perlu mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak tidak bertanggungjawab melakukan sebarang provokasi atau membangkitkan isu perkauman dan agama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau perarakan berkaitan politik di tempat terbuka dalam masa terdekat demi keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pengguna dan pemilik akaun media sosial turut dinasihatkan untuk menjaga adab dan tingkah laku dalam mengeluarkan sebarang paparan yang boleh mencetuskan kegusaran pada masyarakat di negara ini.

"PDRM akan terus komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan masyarakat serta negara," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dipetik berkata, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 7:38 PM