Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sekali lagi berseloroh mahu keluar untuk menonton wayang ketika meninggalkan pejabatnya, di Jalan Gasing, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika ditegur oleh sekumpulan media selepas melihat kenderaan membawa beliau keluar pada 5 petang.

Anwar turut memberikan 'popcorn' (bertih jagung) kepada kepada pengamal media yang berkumpul di perkarangan pejabatnya sejak pagi tadi.

"Mahu keluar tengok wayang, nah popcorn," katanya ringkas.

Terdahulu semua kepimpinan utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat berada di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melakukan pertemuan bersama, susulan perkembangan semasa situasi politik negara.

Sehingga 3.30 petang, pemimpin utama yang berada di dalam pejabat Presiden PKR itu ialah Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli, Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan dua Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Amirudin Shari serta Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut kelihatan hadir, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli.

Namun tiada sebarang kelibat wakil pemimpin daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk dari DAP dan Amanah dilihat tiba di pejabat itu sehingga kini.

Anwar yang mengetuai gabungan PH tiba di pejabat dari kediamannya di Sungai Long, Kajang kira-kira 12 tengah hari, tadi.

ANWAR dikerumuni media ketika meninggalkan pejabat Pengerusi Pakatan Harapan di Bukit Gasing, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANWAR dikerumuni media ketika meninggalkan pejabat Pengerusi Pakatan Harapan di Bukit Gasing, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 5:39 PM