GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Dua adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra dan Tengku Amalin A'ishah Putri sudah mencapai persetujuan berhubung tuntutan saman terhadap sebuah syarikat pertanian berkenaan bayaran sewa tiga bidang tanah milik keluarga diraja itu di Lojing, Gua Musang seluas 7.4 hektar.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas merekodkan penghakiman persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak tanpa pengakuan terhadap liabiliti, yang defendan turut bersetuju membayar amaun yang dipersetujui kepada plaintif.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak (plaintif dan defendan) kerana berjaya selesaikan kes ini secara penghakiman persetujuan," kata Mohamad Abazafree.

Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A'ishah Puteri sebagai plaintif memfailkan saman terhadap Datuk Heng Poi Hong dan United SFL Plantation Sdn Bhd selaku defendan pertama dan kedua.

Saman difailkan menerusi Tetuan Esmael, Nor & Co manakala defendan diwakili Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co.

Mengikut penyataan tuntutan, defendan menyewa tanah tersebut dengan mengusahakan tanaman sayuran seperti kubis dan tomato sejak 2006.

Peguam Esmael Shah yang ditemui di luar mahkamah berkata Tengku Muhammad Fakhry dan Tengku Amalin A'ishah Puteri mendukung prinsip 'raja dan rakyat berpisah tiada'.

"Mereka mahu memudahkan kes dan menyelesaikan secara baik tanpa perbicaraan kerana prihatin terhadap rakyat dan mahu mengambil pendekatan praktikal untuk menjaga hubungan bersama defendan serta keharmonian antara institusi diraja dan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 9:18 PM