Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mula berkumpul di kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini, pagi ini.

Mereka berkumpul untuk membincangkan mengenai pembentukan kerajaan, susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam yang melanjutkan tempoh kepada blok parti untuk menyerahkan nama calon perdana menteri dan jumlah sokongan diperoleh masing-masing jam 2 petang ini.

Kenderaan membawa Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilihat memasuki kawasan kediaman Muhyiddin pada jam 9.50 pagi.

Ia kemudian diikuti Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada jam 10 pagi.

TAN Sri Abdul Hadi Awang tiba di rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan pembentukkan Kerajaan selepas Pilihanraya ke 15. FOTO Eizairi Shamsudin
TAN Sri Abdul Hadi Awang tiba di rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan pembentukkan Kerajaan selepas Pilihanraya ke 15. FOTO Eizairi Shamsudin

Semalam, Hamzah dalam satu kenyataan berkata, PN sudah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Katanya, jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112 surat, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu turut disokong Abdul Hadi yang mendakwa PN juga memperoleh jumlah sokongan Ahli Parlimen melebihi daripada majoriti yang ditetapkan.

Presiden Pas berkenaan memaklumkan gabungan berkenaan menunggu jemputan daripada Istana Negara pada bila-bila masa.

Yang di-Pertuan Agong, semalam berkenan melanjutkan tempoh sehingga 24 jam lagi, iaitu sehingga jam 2 petang ini kepada parti politik untuk berunding mengenai pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 11:20 AM