PENGERUSI Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor  (kiri) dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg. FOTO Arkib Bernama
PENGERUSI Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg. FOTO Arkib Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan tiada parti memiliki majoriti untuk menubuhkan kerajaan, tumpuan kini terarah kepada kerjasama dengan blok politik di Sabah dan Sarawak.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai 22 Parlimen di Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memiliki enam kerusi di Sabah manakala Warisan dengan tiga kerusi menjadikan jumlah keseluruhan di dua negeri berkenaan sebanyak 31 kerusi.

Jumlah itu sudah pasti didambakan dua parti dari Semenanjung yang memiliki jumlah kerusi terbanyak iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata parti dari Borneo dilihat lebih cenderung kepada PN berbanding PH.

Katanya, GPS sendiri pernah menganggotai Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika era pentadbiran Pengerusi PN itu pada 2020.

"Kita lihat keputusan itu nampaknya memberi PN kelebihan kerana PN sebelum ini pernah menubuhkan kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) dan GPS, jadi kalau kita lihat kepada rekod, kelebihan ada pada Muhyiddin.

"Cuma jika berlaku kerjasama PN, GPS, GRS dan BN, sewaktu PRU-15, masing-masing ada membuat kenyataan yang saling bercanggah antara satu sama lain misalnya PAS menyatakan tidak akan bekerjasama lagi dengan BN disebabkan sikap BN yang menolak Muafakat Nasional (MN)," katanya kepada BH, hari ini.

Mazlan berkata, GPS pula sukar untuk bekerjasama dengan PH disebabkan DAP yang bersaing dalam PRU15 di Sarawak.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Eko Prayitno, berpandangan PH mempunyai masalah sentimen terutama dengan GPS yang dibawa dari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hingga PRU-15.

"Namun, mungkin kepentingan politik bersama akan menghilangkan sentimen terbabit. Maksudnya ada keberangkalian kerjasama tetapi agak kecil kecuali kepentingan Sabah dan Sarawak dapat dipenuhi khususnya isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan politik lokal.

"Maka isu-isu ini akan menjadi tawaran besar untuk mereka memberikan sokongan kepada mana-mana parti termasuk PH," katanya.

Eko berkata, di Sabah pula, sekiranya PH dapat memberi keyakinan kepada GPS, tiada masalah untuk parti di Sabah bersekutu dengan PH.

"Tapi jika PH tak dapat sokongan daripada GPS, jadi saya rasakan blok yang akan terbentuk adalah PN, BN, GRS dan GPS sebab ini saya melihat khususnya di Sabah adalah persoalan mengenai sentimen kerajaan negeri yang mana ia ditadbir GRS-BN," katanya.

Keputusan PRU-15 menyaksikan PN memperoleh 73 kerusi Parlimen termasuk 22 daripadanya yang bertanding menggunakan logo PAS.

PH pula menguasai 82 kerusi Parlimen termasuk lima daripadanya yang bertanding menggunakan logo DAP dan satu daripada Muda.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 2:50 PM