ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang yang ditandatangani September tahun lalu membantu meredakan suhu politik negara sekali gus memfokuskan kepada usaha menangani Covid-19 secara menyeluruh.

Transformasi yang diperkenalkan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Ia memangkin iklim pelaburan yang lebih kondusif sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Selain itu, MoU berkenaan turut diyakini berupaya mengenepikan perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif pasca Covid-19.

Usaha itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan kesemua Ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, MoU itu disifatkan sebagai formula terbaik yang dibawa Ismail Sabri sekali gus menjadi sejarah politik negara apabila ia dimeterai dengan pihak pembangkang secara rasmi dalam mencapai kestabilan politik.

Menurutnya, usaha Perdana Menteri itu juga boleh dianggap sebagai 'pendamai politik' dengan pelaksanaan MoU itu sekali gus ia selaras dengan titah Seri Paduka Baginda sebelum ini.

Katanya, ia juga jalan terbaik dalam menangani masalah negara yang berhadapan dengan satu gelombang kesihatan besar dan ketidaktentuan ekonomi yang getir, selain 'kepincangan' politik yang belum pernah berlaku sebelum 2018.

"Ia adalah 'serampang tiga mata' untuk tangani ketiga-tiga masalah ini dan memastikan semua elemen berkaitan kestabilan iaitu ekonomi, kesihatan dan politik negara ditangani dengan satu MoU sahaja.

"Justeru, ia usaha tepat untuk mengetepikan agenda politik masing-masing apabila ia diterima parti kerajaan dan pembangkang. Kita melihat ada kesepakatan semua Ahli Parlimen tidak kira parti untuk kestabilan politik demi mencari solusi terbaik," katanya.

Mohammad Tawfik berkata, ia bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

Katanya, pelaksanaannya juga boleh dianggap berjaya dengan pelbagai elemen dan intipati MoU diberi komitmen oleh kerajaan dan pembangkang biarpun ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya apabila Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Pelaksanaan MoU ini menjadi 'kejutan' kepada rakyat bagaimana kerajaan dan pembangkang duduk bersama (untuk kestabilan politik bagi memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi).

"Tidak sampai 100 hari pentadbiran beliau ia berjaya dimeterai dan berlaku 'genjatan senjata' politik dalam Parlimen untuk mencari solusi terbaik.

"Pada saya juga MoU ini boleh dijadikan model untuk pemerintahan negara selepas ini jika ia masih ada keperluan dan perlu ditambah baik juga," katanya.

Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata, MoU itu dilaksanakan atas keperluan dan ia juga dilihat sebagai satu mekanisme untuk mengurangkan 'politiking' sekali gus menjamin kestabilan negara.

Menurutnya, ia juga yang pertama dilaksanakan dalam pengalaman politik negara apabila cuba keluar dari kemelut dengan menandatangani MoU ini kerana ia penting apa sahaja yang dibawa kerajaan mesti mendapat persetujuan Ahli Parlimen terutamanya kelulusan bajet selain komitmen lain dalam memfokuskan kepada usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

"Pada saya ia adalah satu pelan jangka pendek untuk fokus kepada Covid-19 dan ekonomi, selain ia juga boleh dianggap seperti genjatan senjata politik untuk semua Ahli Parlimen fokus satu tujuan pada masalah rakyat, Covid-19 dan ekonomi negara.

"Usaha itu juga tepat dilakukan pada ketika itu untuk kestabilan politik dan negara yang sangat penting bukan hanya (untuk) masalah dalaman negara tetapi untuk pelaburan juga.

"Dengan cara itu (negara) dapat keyakinan pelabur dan ia sangat penting kerana antara kriteria pelabur ialah kestabilan politik dan negara yang konsisten. Apabila politik stabil polisi akan konsisten khususnya berkaitan ekonomi," katanya.

Katanya, setakat ini beliau melihat objektif MoU itu dalam kestabilan politik adalah tercapai apabila pihak pembangkang tiada usaha 'menjatuhkan' kerajaan dalam Parlimen seperti tiada usul undi tidak percaya dan tidak mengganggu bajet dalam usaha menangani pemulihan negara dalam pasca Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 11:59 AM