Izzati Zaidi


Putrajaya: Seramai 87 wakil pelajar terpilih menyertai Pertandingan Pendidikan Kewangan Kebangsaan iaitu inisiatif pendidikan kewangan, Fun(d) for Life dilaksanakan oleh Arus Academy secara percuma dengan sokongan FWD Takaful sejak 2019.

Ketua Pegawai Strategi dan Pengedaran Digital FWD Takaful, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, pertandingan yang memupuk kemahiran kewangan dan keusahawanan ini dianjurkan sempena Bulan Literasi Kewangan Malaysia.

"Selaras dengan tema tahun ini iaitu 'Kesejahteraan Kewangan: Jom Digital dengan Yakin', kami percaya kesejahteraan kewangan dapat dicapai apabila seseorang individu menguasai piramid pengurusan kewangan.

"Ia meliputi perlindungan, simpanan dan seterusnya, pelaburan. Kami memanfaatkan kepakaran dan minat FWD Takaful ke arah teknologi digital untuk memastikan lebih ramai orang dapat meningkatkan literasi kewangan dalam tiga aspek ini," katanya.

Menurutnya, lebih 50 pendidik turut sama hadir bagi memperkasakan kemahiran mereka mengajar pendidikan kewangan di dalam bilik darjah melalui Pertandingan Inovasi Guru Celik Kewangan dan Lab Inovasi Celik Kewangan.

"Pertandingan yang dibahagi kepada dua kategori iaitu asas kewangan dan kejar impian (Keusahawanan) membuktikan usia tidak menghalang anak muda untuk menguasai kemahiran kewangan dan keusahawanan.

"Pertandingan Kewangan Kebangsaan yang bermula sejak beberapa bulan lalu disertai lebih 4,000 peserta dari setiap negeri di seluruh Malaysia dan mendapat sokongan pihak Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.

caption

Pix 1: ANTARA pemenang Pertandingan Kem Kewangan Kebangsaan anjuran Arus Academy dengan sokongan FWD Takaful sejak 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 7:52 PM