Izad Thaqif Hassan


Kulim: Jasad Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia, semalam dihantar ke Krematorium Berapit, Bukit Mertajam Pulau Pinang, hari ini.

Sebelum itu, upacara sembahyang dilakukan di rumah mendiang di Taman Bayam, Lunas di sini bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Lima kepala lori milik syarikat logistik dan pengangkutan diusahakan Karupaiya turut mengiringi perjalanan membawa mayat mendiang ke krematorium.

Mendiang yang juga anak jati Kulim meninggalkan isteri, N Usah Devi, 47, yang juga seorang guru serta tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Ketika hayatnya, mendiang yang dilahirkan pada 4 Februari 1953 pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bersara sebagai Pegawai Waran 1 dan digambarkan sebagai insan berdisiplin serta berdedikasi.

Karupaiya disahkan meninggal dunia pada 2.27 petang semalam akibat komplikasi jantung ketika dirawat di Hospital Kulim sejak Isnin lalu.

Mendiang adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai selepas memenanginya buat pertama kali pada PRU-14 dengan majoriti 8,813 undi.

JASAD M Karupaiya dibawa dari rumahnya di Taman Bayam, Lunas di sini, untuk upacara pembakaran di Krematorium Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
JASAD M Karupaiya dibawa dari rumahnya di Taman Bayam, Lunas di sini, untuk upacara pembakaran di Krematorium Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Bagi PRU-15, Sabtu ini mendiang dicalonkan untuk mempertahankan kerusinya, bakal bersaing enam penjuru dengan Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).

Susulan kematiannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat esok dan membuat ketetapan mengenai perkara itu dan isu lain berkaitan.

Sementara itu, pekerja syarikat mendiang, T Sanmugawelu, 46, berkata, sempat berada di sisi mendiang ketika menghembuskan nafas terakhir.

"Saya mengenali mendiang sejak 17 tahun lalu dan mempelajari selok-belok perniagaan dalam bidang logistik ini daripadanya.

"Bayangkan, daripada langsung tidak mengetahui apa-apa, mendiang menurunkan ilmu kepada saya dalam perniagaan logistik dan pengangkutan yang kekal hingga sekarang," katanya.

Dia juga kagum dengan semangat serta disiplin mendiang yang memulakan perniagaan menerusi sebuah lori yang masih disimpan hingga kini, sebelum mampu memiliki lebih 50 kontena.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 4:03 PM