NAJIB dan Rosmah.
NAJIB dan Rosmah.
BERNAMA

PERMOHONAN bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL untuk mendapatkan gambar dan membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta yang disita akan didengar 19 Februari ini.

Harta yang berjumlah RM680 juta itu disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd dan ia berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam yang mewakili ketiga-tiga pihak itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memohon kepada mahkamah untuk memberi masa kepada pihaknya memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib manakala Rosmah diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim dan peguam P Thilagam bertindak bagi pihak Global Royalty.

Sementara itu peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Obyu Holdings memberitahu mahkamah pihaknya mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan pendakwaan.

Menurutnya, mahkamah menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar bantahan itu.

“Tan Sri Bustari Yusof berhasrat menjadi pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu dan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Obyu Holdings dimiliki Bustari iaitu adik bekas menteri kerja raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antaranya menyita 11,991 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki Obyu Holdings.

Selain itu, sebuah hartanah di daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 November 2018.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap Obyu Holdings yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata SPRM memfailkan permohonan itu terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun Najib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 6:01 AM