BEH Eng Lai. FOTO Arkib NSTP.
BEH Eng Lai. FOTO Arkib NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jentera parti politik yang berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetap tertakluk kepada undang-undang jalan raya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada sekiranya terdapat pihak melakukan kesalahan.

Katanya, tindakan diambil ke atas jentera sebuah gabungan parti yang menaiki kenderaan buggy ketika berkempen di Taman Koperasi Polis Fasa 2 di sini, hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu juga dikesan menggunakan skuter elektrik secara berkumpulan, selain peserta duduk di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda (4x4).

"Kita mengesan rakaman video kempen menggunakan semua kenderaan ini di atas jalan raya dan semakan mendapati parti terbabit memiliki permit perjumpaan awam terbuka yang sah dan kempen berlangsung kira-kira 9 pagi tadi di Taman Koperasi Polis Fasa 2.

"Kita mendapati ada beberapa pelanggaran undang-undang lalu lintas berlaku dalam kempen itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beh berkata, pihaknya mengambil tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan penggunaan dua kenderaan buggy jika didapati tidak memiliki cukai jalan atau kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Kesalahan lain yang dikesan adalah perbuatan menunggang skuter elektrik secara berkumpulan yang melanggar Peraturan 42 Kaedah Lalu lintas 1959 (LN166/19596).

"Mengikut peraturan itu, penunggang skuter elektrik dikehendaki menunggang dalam satu barisan sahaja di atas jalan," katanya tindakan juga boleh diambil kerana duduk di bahagian belakang 4x4, memandangkan ia bahaya.

Beliau menasihati semua parti politik yang terbabit dalam PRU-15 untuk sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen.

Terdahulu rakaman video mengenai kempen parti politik itu tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 11:07 PM