Ekhwan Haque Fazlul Haque

Bera: Kerajaan menjangkakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di beberapa stesen yang terjejas ketika ini dapat pulih lebih awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kini kerja baik pulih sedang giat dijalankan pasukan teknikal Rapid Rail, dengan bantuan pasukan pengeluar sistem, Thales Group dari Kanada dan Singapura.

Menurutnya, kerajaan juga menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Kementerian Pengangkutan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Setakat ini semua sistem keselamatan stabil mengikut data ujian yang diperoleh dengan menggunakan 38 set tren di laluan Putra Heights ke Gombak sepanjang hari ini.

"Sistem isyarat dan komunikasi sedang diuji lagi malam ini dan dinilai untuk memastikan LRT laluan Kelana Jaya bersedia untuk beroperasi dengan selamat lebih awal daripada Selasa ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Papan di Kuala Bera, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Ismail Sabri mengakui bimbang kejadian sama kembali berulang sehingga mengganggu aktiviti harian warga kota.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan terutamanya punca kejadian ini berulang terutamanya ketika musim kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sedang giat berlangsung.

Gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) pada Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pertama kali berlaku sepanjang tempoh pengoperasian perkhidmatan itu.

Gangguan menyebabkan kehilangan isyarat antara pusat kawalan dan tren mengakibatkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park, Selasa lalu.

Mengambil kira faktor keselamatan penumpang dan masa yang akan diambil untuk mengesan pasti punca gangguan dan sesi ujian, perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park digantung selama tujuh hari.

Semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu jam 11 malam bagi bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja rektifikasi dan baik pulih.

Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan untuk keperluan penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:58 PM
KERAJAAN menjangkakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di beberapa stesen yang terjejas ketika ini dapat pulih lebih awal. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
KERAJAAN menjangkakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di beberapa stesen yang terjejas ketika ini dapat pulih lebih awal. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR