Noorazura Abdul Rahman

Kuala Nerang: "Ayah selalu pesan kepada sesiapa pun yang ziarah dia sebelum ini supaya jangan tinggalkan al-Quran, jadikan kalam Allah itu sebagai pegangan hidup," kata Pirdaus Abdul Hamid, 41.

Anak kedua Allahyarham Tuan Guru Syeikh Abdul Hamid Ismail atau Pak Su Mid, 96, itu berkata, Allahyarham tidak pernah putus menerima kunjungan orang ramai semasa hayatnya termasuklah pemimpin negara yang datang untuk mendapatkan nasihat.

Katanya, nasihat yang diberikan adalah seiring dengan amalan yang sentiasa membaca al-Quran dan berpuasa.

"Ketika orang datang ziarah ayah, dia paling banyak beri nasihat amalkan membaca al-Quran, ada yang datang bawa al-Quran, ayah akan beri amalan ayat al-Quran dan mereka akan catat.

"Untuk anak-anak, nasihat dia al-Quran. Kalau siapa pun datang dia akan pesan, al-Quran, jangan tinggal. Al-Quran kalau anak-anak murid datang minta nasihat apa nasihat. Ayah nasihat al-Quran, lain pada itu tak ada apa, paling tinggi al-Quran.

"Al-Quran jangan tinggal, ayah sakit pun al-Quran, walaupun dia tak boleh baca rakaman itu dia ada minta selalu pasang ayat al-Quran itu sudah sebati dengan ayah," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Pai, di sini, malam tadi.

PIRDAUS (kiri) ketika menerima kunjungan orang ramai untuk menziarahi bapanya Allahyarham Tuan Guru Syeikh Abdul Hamid Ismail di rumahnya di Kampung Kuala Pai. FOTO Noorazura Abdul Rahman
PIRDAUS (kiri) ketika menerima kunjungan orang ramai untuk menziarahi bapanya Allahyarham Tuan Guru Syeikh Abdul Hamid Ismail di rumahnya di Kampung Kuala Pai. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Pak Su Mid meninggal dunia kira-kira 6 petang semalam di sebuah hospital swasta di Alor Setar dipercayai akibat sakit tua.

Pirdaus berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian ayahnya selepas kesihatannya semakin merosot sejak tiga minggu lalu.

"Ayah memang sudah bagi isyarat tidak mahu ke hospital sejak tiga minggu lalu, namun kami ahli keluarga ikhtiar juga untuk menghantar ke hospital namun sudah tiba masanya, kami reda," katanya.

Pirdaus berkata, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Jerlun, 10 pagi ini.

Sementara itu, penyandang Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, negara kehilangan seorang ulama yang sentiasa menjadi rujukan ramai orang.

Allahyarham Paksu Mid meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat, 60-an, tiga anak bersama 10 orang cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 8:55 AM