PENGERUSI MIC Wilayah Persekutuan Datuk S Rajah membuat laporan polis terhadap P Prabakaran yang mendakwa ditawarkan RM10 juta untuk lompat parti daripada parti berkenaan di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
PENGERUSI MIC Wilayah Persekutuan Datuk S Rajah membuat laporan polis terhadap P Prabakaran yang mendakwa ditawarkan RM10 juta untuk lompat parti daripada parti berkenaan di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: MIC membuat laporan polis terhadap P Prabakaran yang mendakwa ditawarkan RM10 juta untuk lompat parti.

Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Datuk S Rajah berkata, beliau menerima satu video ceramah oleh calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu itu menerusi WhatsApp kira-kira 2 petang, semalam.

"Dalam video ceramah Prabakaran di satu lokasi baru-baru ini, dia menyatakan pernah menerima tawaran RM10 juta dari MIC supaya lompat parti namun dia menolaknya konon kerana tidak mahu mengkhianati pengundi Batu.

"Saya ingin tegaskan tidak pernah ada sebarang individu dari MIC yang menawarkan wang untuk dia lompat parti. Tohmahan dilemparkan ini amat tidak masuk akal," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, hari ini.

Rajah berkata, dakwaan dilemparkan penyandang kerusi Parlimen Batu itu dilihat sebagai tindakan untuk meraih undi simpati daripada pengundi.

"Sekarang kita nampak dia (Prabakaran) dah bergegar, sebab itu dia dah tak ada modal sehingga buat fitnah untuk dapatkan simpati pengundi.

"Nasihat saya kepada dia kalau mahu dapatkan undi, lebih baik beritahu apa kebaikan yang dia sudah lakukan di kawasan Batu," katanya yang mahu Prabakaran menarik balik kenyataan itu.

Sementara itu, Prabakaran ketika dihubungi, hari ini, memaklumkan beliau tidak akan menarik balik kenyataan itu kerana mempunyai bukti tawaran berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.

"Kita akan buka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah.

"Sebaik kertas siasatan lengkap nanti, kita akan rujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru membabitkan calon penyandang, calon yang kembali bertanding dan muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calon PKR, Prabakaran yang juga penyandang kerusi Parlimen itu selaku calon termuda ketika itu, sekali lagi bertanding pada pilihan raya kali ini mewakili PH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 4:51 PM