SYAIFUL ANUAR maut diserang babi hutan. FOTO Ihsan bomba.
SYAIFUL ANUAR maut diserang babi hutan. FOTO Ihsan bomba.
Muhamad Lokman Khairi


Pantai Remis: Seorang lelaki maut manakala dua cedera apabila diserang babi hutan dekat Jalan Kampung Paya Ara di sini, malam ini.

Komander operasi, Pegawai Kanan Bomba II Hisham Amzan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis menerima panggilan mengenai kejadian pada 7.05 malam.

Katanya, mangsa, Syaiful Anuar Abdul Wahab, 46, dipercayai diserang babi hutan ketika dalam perjalanan ke kebunnya.

"Kami percaya, mangsa dalam perjalanan ke kebunnya sebelum tiba-tiba diserang oleh babi hutan itu.

"Dua lagi mangsa masing-masing berusia 49 dan 60 tahun cedera ringan ketika mahu membantu mangsa daripada diserang haiwan itu," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, babi hutan itu ditembak mati oleh pihak polis dengan bantuan pencahayaan oleh pasukan bomba.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis manakala dua yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan lanjut," katanya menambah operasi tamat pada 8.10 malam

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 9:45 PM