MAHDZIR Khalid mengadakan sidang media pada Majlis ramah mesra bersama guru KAFA dan Jawatankuasa Masjid Padang Terap hari ini. FOTO Bernama
MAHDZIR Khalid mengadakan sidang media pada Majlis ramah mesra bersama guru KAFA dan Jawatankuasa Masjid Padang Terap hari ini. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Padang Terap: Tindakan beberapa pemimpin Umno yang tidak dicalonkan semula memilih mewakili lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sepatutnya tidak berlaku sama sekali.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pemimpin politik tidak seharusnya berharap apa saja keputusan dibuat pucuk pimpinan akan sentiasa memihak kepada mereka.

"Ini (bertanding mewakili lawan) sepatutnya tak berlaku, tetapi kini sudah berlaku. Ada sesuatu yang tak berapa menarik dalam hal ini, kerana ada (pemimpin) yang buat keputusan drastik.

"Di dalam institusi politik, realiti keadaannya memang begini, kita tak boleh ambil semua (keputusan) yang berlaku akan memenuhi kehendak kita," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Guru Kelas Fardu Ain (Kafa) dan Jawatankuasa Masjid Daerah Padang Terap.

Setakat ini, penyandang kawasan Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak dicalonkan semula Barisan Nasional (BN), sudah mengumumkan bakal mempertahankan kerusi itu di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Turut mengambil tindakan sama adalah penyandang kerusi Parlimen Maran dari BN, Datuk Seri Ismail Muttalib yang akan mempertahankan kerusi itu di bawah tiket PN.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dijangka turut mempertahankan kerusi berkenaan, namun belum mengumumkan parti yang akan diwakilinya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pemimpin Umno yang mewakili pihak lawan juga berkemungkinan tidak lagi mempedulikan tindakan bakal diambil parti ke atas mereka, termasuk jika dilucutkan keahlian.

"Mereka tidak lagi fikir apa tindakan atau mengenai keahlian yang ada dijelaskan dalam Perlembagaan Umno, semua sudah jadi seperti keluarga 69, di sebelah sana (lawan) macam itu, di sebelah sini (BN) pun sama.

"Saya ingat zaman sudah berubah, macam orang kata politik sentiasa dinamik, memang sungguh dinamik kali ini apabila mereka tak lagi acah (mewakili lawan), tetapi buat sungguh-sungguh," katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, BN masih mempunyai tempoh 14 hari sehingga hari pengundian 19 November ini, bagi memenangi kembali hati rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 3:15 PM