Kharuddin meninggal dunia semalam selepas mengalami sesak nafas.
Kharuddin meninggal dunia semalam selepas mengalami sesak nafas.
Redzuan Muharam


Rawang: Penghidap angin ahmar, Kharuddin Ali meninggal dunia 9.22 malam tadi selepas dua tahun menderita menghidap penyakit itu.

Berita pemergian Kharuddin, 43, dikongsikan abang iparnya, Ishak Ya'akob, 49.

Menurut Ishak, Kharuddin menghembuskan nafas terakhir di rumah didiami mereka bersama dekat Pangsapuri Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, di sini.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, di sini kira-kira 10 pagi nanti.

"Sudah seminggu arwah tidak lalu makan. Jika makan sekalipun akan keluar balik daripada mulutnya.

"Semalam, keadaannya semakin nazak dan mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pada 16 Julai lalu, portal Harian Metro melaporkan kisah Kharuddin dan kakaknya, Siti NorSalyrawati, 45, yang kedua-duanya terlantar akibat angin ahmar.

Kharuddin menghidap angin ahmar sejak dua tahun lalu akibat diserang sawan tidak lama selepas berpisah dengan bekas isterinya.

Manakala, Siti NorSalyrawati diserang angin ahmar dengan tiba-tiba pada 1 Ramadan lalu menyebabkannya lumpuh bahagian kanan badan.

Berikutan itu, Kharuddin terpaksa bergantung dengan abang iparnya, Ishak yang bekerja sebagai pemandu lori dan juga perlu menyara tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 10:14 AM