Keadaan barangan jualan dan khemah Mohd Syahidrol di tapak niaga berhampiran terowong Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dekat Taman Dato Senu, Sentul, selepas dilantan angin kencang hari ini. Foto Ihsan Mohd Syahidrol Nor Azan
Keadaan barangan jualan dan khemah Mohd Syahidrol di tapak niaga berhampiran terowong Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dekat Taman Dato Senu, Sentul, selepas dilantan angin kencang hari ini. Foto Ihsan Mohd Syahidrol Nor Azan
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Saya dan adik ipar cuba selamatkan khemah jualan kami, namun gagal kerana angin terlalu kencang, hujan pula lebat dan kilat sabung-menyabung ," kata Mohd Syahidrol Nor Azan, 41.

Peniaga makanan laut sejuk beku di tapak niaga berhampiran terowong Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dekat Taman Dato Senu, Sentul di sini, berdepan detik cemas apabila tiga khemah jualannya runtuh serta diterbangkan angin kencang pada 4.15 petang hari ini.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan dia dan adik iparnya, Muhamad Haniff Abd Rahman kerugian kira-kira RM2,000 membabitkan khemah jualan, kerepek dan biskut raya yang turut dijual di situ.

Bercerita lanjut, Mohd Syahidrol berkata, dia dan adik iparnya meneruskan perniagaan seperti biasa ketika itu walaupun hujan.

"Tiba-tiba angin bertiup kencang dan mulanya kami cuba pegang tiang khemah untuk menghalangnya runtuh dan diterbangkan.

"Disebabkan kilat sabung-menyabung, kami berlari meninggalkan tapak niaga dan berteduh di dalam kereta untuk mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

"Akibatnya, khemah jualan kami diterbangkan angin dan yang lain runtuh. Makanan laut selamat kerana di simpan di dalam kotak sejuk beku tetapi semua kuih dan biskut rosak berikutan insiden berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Syahidrol, bukan hanya khemah jualan miliknya dan ipar namun peniaga berhampiran turut menerima nasib sama.

Katanya, mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berteduh di dalam kereta kerana hujan lebat hanya berhenti kira-kira sejam kemudian.

"Ini bukan kali pertama saya berdepan situasi sebegini kerana pernah mengalaminya akhir Mac lalu.

"Namun, insiden kali ini lebih buruk dan saya anggap ia ujian buat kami pada Ramadan," katanya.

Kisah Mohd Syahidrol, kakitangan syarikat penerbangan yang diberi cuti tanpa gaji sejak Oktober lalu pernah disiarkan di portal Harian Metro pada 17 Mac lalu.

Menerusi laporan berkenaan, Mohd Syahidrol berkongsi kisahnya yang berusaha mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan demi menyara isteri, Noraini Khusen, 37, dan lima anak berusia 11 bulan hingga 11 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 7:53 PM