LOKE (tengah) bersama Zulhazmi (kiri) dan sebahagian penyokong ketika melawat Pusat Operasi Pilihanraya (POP) Pakatan Harapan Parlimen Jerai di Pekan Guar Cempedak.  FOTO Luqman Hakim Zubir.
LOKE (tengah) bersama Zulhazmi (kiri) dan sebahagian penyokong ketika melawat Pusat Operasi Pilihanraya (POP) Pakatan Harapan Parlimen Jerai di Pekan Guar Cempedak. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noorazura Abdul Rahman


Gurun: DAP menafikan timbul isu protes terhadap pemilihan calonnya di kerusi Parlimen Jerai berikutan keputusan itu dibuat selepas rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, majlis pengisytiharan calon PH Kedah di Sungai Petani semalam, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada pihak lain.

Katanya, ketika proses rundingan pembahagian kerusi, DAP bersetuju menyerah kerusi Alor Gajah kepada Parti Amanah Negara (Amanah) dan sebagai timbal balik, kerusi Jerai diberikan kepada DAP.

"Saya tak sedar ada apa-apa boikot semalam dan saya difahamkan majlis berjalan lancar, cuma mungkin ada sedikit pandangan dalaman dan sebagainya tapi bagi saya itu adalah isu dalaman.

"Kerusi Parlimen Jerai ini kita ada rundingan dengan Amanah di mana kita serahkan kerusi Parlimen Alor Gajah kepada Amanah dan kita menerima kerusi Parlimen Jerai, keputusan ini dibuat berdasarkan semangat rundingan secara bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pusat Operasi Pilihan Raya PH Parlimen Jerai di Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Semalam, PH mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, sebagai calon di kerusi Parlimen Jerai, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di negeri ini.

Phahrolrazi tidak hadir di majlis berkenaan, yang turut dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Loke berkata, pihaknya yakin tidak akan timbul soal pertukaran calon daripada parti lain kerana keputusan itu sudah dibuat Majlis Presiden PH dan setiap parti dalam komponen parti dalam PH perlu menghormati keputusan itu.

"Kita sentiasa mengangkat keputusan secara kolektif dan bersama, jadi kita hanya fokus kepada kempen sekarang," katanya.

Terdahulu, Amanah hari ini memecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, kerana didapati melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dipetik berkata, Phahrolrazi mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Beliau dilapor berkata, pemecatan dibuat berasaskan peruntukan kuasa bawah Fasal 6.2(b), Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti Amanah Negara yang bermesyuarat pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad dalam kenyataannya berkata, Jawatankuasa Pengurusan Nasional parti itu, mengambil keputusan memecat Phahrolrazi kerana tindakan beliau menghasut ahli dan pimpinan Amanah Kedah, memboikot pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, walaupun berbeza pandangan dalam strategi parti dan agihan kerusi, tindakan menghasut ahli dan pemimpin agar memboikot pilihan raya, tidak wajar dan tidak boleh diterima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 6:33 PM