GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lima penjawat awam ditahan dan pelbagai dadah seberat 13.9 gram dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong di sini, kelmarin.

Serbuan Ops Noda pada 11.45 malam itu dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, ketika serbuan seorang lelaki tempatan yang mengaku penjaga premis ditahan.

"Polis turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam yang disyaki pelayan pelanggan.

"Semasa pemeriksaan di sebuah bilik, terdapat lima pengunjung yang juga penjawat awam. Hasil pemeriksaan dijalankan menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 0.87 gram, pil eramin 5 (7.38 gram) dan ganja (5.65 gram)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati empat suspek positif dadah amphetamine dan methamphetamine manakala seorang suspek positif ketamin.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas pula dianggarkan boleh dibekalkan kepada lima sehingga 10 pengguna dadah.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sumber bekalan dadah yang diperoleh," katanya.

Katanya, kelima-lima suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kes juga akan disiasat dari segi kesalahan tatatertib.

Dalam pada itu, Amihizam berkata, pusat hiburan juga akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rampasan dadah itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi pihaknya di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 8:08 PM