Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Rindu nak ke sekolah... rindu pada Cikgu Sarah dan kawan baik, Damia," begitu kata kanak-kanak penghidap leukemia tahap akhir, Qistina Batrisya Zamri, 7.

Walaupun sedang bertarung dengan kesakitan, Qistina Batrisya memasang impian berkenaan dan amat bersemangat mahu kembali ke sekolah.

Suri rumah, Juriah Saad, 41, berkata anaknya hanya sempat bersekolah selama dua minggu di Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah berikutan kesihatannya tidak menentu dan merosot.

Katanya, perkembangan kesihatan Qistina Batrisya kini dipantau di rumah selepas semua rawatan di hospital dihentikan berikutan barah yang semakin merebak.

"Baru-baru ini, Qistina Batrisya bertanya kepada doktor sama ada dia sudah boleh ke sekolah dan doktor berkata 'boleh' apabila sihat kelak, namun melihat kepada perkembangannya, memang saya tidak mengizinkan kerana dia cepat letih.

"Saya hanya mampu beri dorongan supaya dia terus melawan penyakit serta cepat sihat supaya dapat kembali ke sekolah bertemu guru serta rakan," katanay ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Terdahulu Qistina Batrisya hadir dalam majlis anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan), Kelab Vellfire Alphard Northern Community (VANC) dan Hotel Hompton By The Beach Penang di Tanjung Tokong, di sini.

Pada majlis itu, seramai tujuh kanak-kanak penghidap barah tahap akhir diraikan dan diarak menaiki 10 Toyota Vellfire dan Alphard dari Seberang Jaya ke hotel berkenaan.

Menurut Juriah, anak ketiga daripada lima beradik itu mula menjalani kemoterapi pada April 2019 dan rawatan berkenaan berjaya, namun doktor mengesahkan bahawa sel barah kembali menyerang pada Januari lalu.

Katanya, anaknya kemudian menjalani semula kemoterapi sebelum semua rawatan terpaksa dihentikan pada Julai lalu kerana ubat yang diberi tidak mampu melawan barah berkenaan.

"Pertemuan dengan doktor itu adalah pada hari ulang tahun kelahirannya dan bayangkan perasaan kami sekeluarga ketika diberitahu bahawa penyakit berkenaan sudah tidak dapat diubati, semuanya seakan gelap.

"Semangatnya sangat kuat dan tidak pernah bersedih meskipun mengetahui nasib yang menimpanya. Di hospital, Qistina Batrisya dikenali dalam kalangan doktor dan jururawat sebagai seorang yang menggemari muzik dari Korea," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 12:02 PM
Qistina Batrisya (kanan) bersama ibu, Juriah Saad (kiri) ketika ditemui dalam satu majlis di Hotel Hompton By The Beach Penang, di Tanjung Tokong. FOTO FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Qistina Batrisya (kanan) bersama ibu, Juriah Saad (kiri) ketika ditemui dalam satu majlis di Hotel Hompton By The Beach Penang, di Tanjung Tokong. FOTO FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI