Serdang: Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kedutaan Perancis di Malaysia dan Persatuan Pengajar Perancis di Malaysia melaksanakan Kongres Pengajar Bahasa Perancis di Malaysia 2023.
Kongres kali ini berlangsung pada 12 dan 13 Ogos lalu dan dihadiri 100 peserta Malaysia terdiri daripada pengajar bahasa Perancis daripada sekolah menengah, sekolah antarabangsa, universiti dan institusi lain yang menawarkan pembelajaran bahasa Perancis.
Program ini juga turut disertai oleh pengajar bahasa Perancis dari Indonesia dan Kemboja.
Ketua Program, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, objektif utama program ialah menyediakan platform bagi ahli akademia bahasa Perancis untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan aspek perkembangan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Perancis.
Beliau berkata, kongres itu juga bertujuan mewujudkan jaringan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa antara semua delegasi yang hadir.
"Kongres Pengajar Bahasa Perancis pada tahun ini memberi fokus kepada pengajaran bahasa Perancis menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI).
"Untuk ini, beberapa siri bengkel diadakan jurulatih dari Perancis Laurent Bernard dari Atelier Canopé of Nantes dan Jeanne Renaudin dari CLE International," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, program yang mendapat tajaan dari pihak Kedutaan Perancis di Malaysia, CLE International, Perancis dan Atélier Canopé de Nantes, Perancis diharapkan memberi impak seperti menambah nilai pengetahuan kepada pengajar mengenai didaktik bahasa dan budaya Perancis.
"Di samping itu dapat memberi peluang kepada peserta memperoleh idea baru dan membuka peluang bertukar-tukar pengalaman dengan peserta dalam dan luar negara bagi meningkatkan kualiti dan memperkayakan pengalaman pengajaran.
"Ini akan memberikan kesan positif kepada pencapaian akademik pelajar dan memperkuat reputasi institusi terbabit dalam penyampaian pendidikan berkualiti," katanya.