PELAJAR yang menyertai CSR Pemantapan Lisan Bahasa Perancis Melalui Aktiviti Pantomim bergambar kenangan. FOTO ihsan FBMK
PELAJAR yang menyertai CSR Pemantapan Lisan Bahasa Perancis Melalui Aktiviti Pantomim bergambar kenangan. FOTO ihsan FBMK

Serdang: Bermula 2 Januari hingga 31 Disember ini, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Sekolah Alam Shah (SAS) Wilayah Persekutuan dan SMK Sultan Yahya Petra 1 (SMKSYP1) Kuala Krai, Kelantan melaksanakan Program Khidmat Masyarakat (CSR) 'Pemantapan Lisan Bahasa Perancis Melalui Aktiviti Pantomim'.

Program itu dilaksanakan melalui intervensi secara berkala dan pementasan pantomim oleh pelajar pada November 2023.

Ketua Program, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, objektif utama program itu ialah mengukuhkan kemahiran lisan pelajar menggunakan medium Bahasa Perancis secara lebih santai.

Beliau berkata, selain itu, kemahiran insaniah juga turut diterapkan melalui aktiviti kebudayaan Perancis seperti tayangan filem, persembahan nyanyian dan aktiviti berkaitan.

"Program itu juga membuka ruang minda pelajar SAS dan SMKSYP1 untuk memperoleh pengajaran dan pembelajaran serta menerapkan nilai insaniah dalam kehidupan seharian.

"Program ini mendapat tajaan daripada Kedutaan Perancis di Malaysia dan diharap memberi impak seperti menambah nilai pengetahuan kepada pelajar terhadap kemahiran bertutur bahasa Perancis secara libur, menyeronokkan dan mendedahkan mengenai kebudayaan Perancis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program itu juga dapat memberi kesan positif kepada pelajar daripada segi kemahiran berkomunikasi dan kerja berkumpulan.

"Program CSR ini juga serampang dua mata yang mempunyai hasil pembelajaran untuk pelajar SAS dan SMKSYP1 yang akan mengambil mata pelajaran bahasa Perancis tahap CEFR A1, A2, dan B1. "Di samping itu, pelajar dapat meningkatkan lagi kualiti kemahiran berorganisasi dengan lebih efektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 3:28 PM