Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming.
Samadi Ahmad


Sepang: Ahli DAP yang bertanding di bawah parti lain akan dipecat keahlian serta-merta.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, mengikut perlembagaan parti, jelas menunjukkan ahli yang tidak mendapat kebenaran daripada pusat untuk bertanding pada pilihan raya akan digugurkan keahlian.

"Semua ahli faham dan sekiranya bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel bertanding atas tiket Bebas bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini, akan gugur keahliannya," katanya pada Majlis Perasmian MyKiosk di Taman Putra Perdana di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, David, 47, mendakwa tindakannya bukan atas kepentingan diri selepas bersama parti itu selama 15 tahun, sebaliknya mahu menyelamatkan DAP daripada kepimpinan Pengerusinya, Lim Guan Eng selain mahu menyokong Chow Kon Yeow kekal sebagai Ketua Menteri negeri itu.

Media hari ini turut melaporkan, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy turut mengumumkan keluar DAP dan mengesahkan akan bertanding atas tiket Bebas.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, perlembagaan Pulau Pinang mengehadkan jawatan Ketua Menteri hanya boleh dipegang dua penggal selepas pindaan berkuat kuasa pada 1 Februari 2019 dan tidak boleh dilantik semula ke jawatan sama.

Katanya, tiada isu perlu dibangkitkan bagi sesetengah pihak menyekat Kon Yeow sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 3:00 PM