GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pelajar Sabah di Semenanjung yang ingin pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan, dibimbangi terpaksa melupakan tanggungjawab lima tahun sekali itu berikutan masalah tambang penerbangan yang mahal.

Perkara itu disuarakan Markas Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Sabah berdasarkan kadar semasa tambang ditawarkan syarikat penerbangan.

Menerusi satu kenyataan bersama kedua-dua badan itu hari ini, Presiden Marsis, Mohd Shahrul Izzat Basri dan Timbalan Pengerusi Gamis Sabah, Mohd Faizal Kambah berkata, isu tambang menjadi kerisauan utama pelajar yang boleh menyebabkan mereka tidak dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Mereka berkata, meskipun cuti pelepasan selama lima hari diberikan kepada pelajar untuk pulang supaya dapat mengundi pada PRU-15, namun ia tidak memberi apa-apa makna jika ada pelajar tidak dapat pulang disebabkan tidak mampu membayar harga tambang penerbangan yang mahal.

"Ini sebenarnya antara kerisauan kepada mahasiswa apabila mereka tidak dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju supaya semua institusi pendidikan tinggi (IPT) memberi pelepasan selama lima hari bermula pada 17 hingga 21 November depan kepada mahasiswa untuk pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 9:08 AM