GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Geram kerana insurans diambil dipercayai tidak melindungi penyakit dialaminya, seorang wanita melarikan diri dari wad tanpa membuat sebarang pembayaran di sebuah hospital swasta, di sini, semalam.

Berikutan itu, jururawat hospital swasta berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, wanita berusia 32 tahun itu pada mulanya mendaftar untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit, jam 6.40 petang kelmarin sebelum dia dimasukkan ke wad.

"Bagaimanapun, pada 9.30 malam, pihak hospital memaklumkan kepada wanita itu yang insurans miliknya tidak boleh digunakan sebelum dia memberitahu enggan meneruskan rawatan dan mahu keluar wad.

"Jururawat kemudian memberitahu doktor bertugas sebelum proses keluar wad dilakukan terhadap pesakit terbabit yang turut diminta menjelaskan bayaran dan mengambil ubat di farmasi," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pada 10.40 malam, pesakit berkenaan didapati tiada dalam wad dan dikesan tidak membuat pembayaran.

"Kakitangan hospital cuba menghubunginya, namun pesakit berkenaan tidak menjawab panggilan telefon dan satu laporan polis dibuat jururawat.

"Susulan daripada itu, polis turut menghubungi pesakit terbabit, namun tidak dijawab dan cuba mencarinya di rumah bagaimanapun wanita berkenaan tiada selain pintu berkunci," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan ke hospital swasta itu kerana mengalami sakit perut dan memberitahu dia mempunyai insurans ketika mendaftar masuk wad.

"Pemeriksaan mendapati pesakit mengalami gastrik, namun syarikat insurans yang diambilnya mendakwa mereka tidak melindungi penyakit dihidapi wanita itu membuatkan dia keluar wad.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut serta sedang mengesan pesakit berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 8:31 AM