SINGAPURA. FOTO EPA
SINGAPURA. FOTO EPA
BERNAMA

Singapura: Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan 23 kes baharu Covid-19 pada Rabu, membabitkan seorang jururawat di Tan Tock Seng Hospital (TTSH).

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu memaklumkan berikutan pengesanan kes itu, TTSH menutup wad yang terjejas dan melakukan ujian ke atas pesakit dan kakitangan yang berada di wad.

"Setakat ini, kami mengesan empat lagi kes yang diuji positif awal untuk jangkitan Covid-19. Ia termasuk seorang doktor dan tiga pesakit yang dirawat di wad yang sama," menurut kementerian itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH berkata, semua petugas yang merawat pesakit yang dijangkiti serta pelawat, pesakit dan kakitangan yang bekerja di wad itu akan dikuarantin.

Jururawat berusia 46 tahun itu adalah warganegara Filipina, menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 26 Januari dan dos kedua pada 18 Februari.

Daripada 23 kes baharu itu, tiga berada dalam komuniti, 20 lagi kes import manakala tiada kes di asrama pekerja asing, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di sini kepada 61,086.

Setakat ini, kementerian telah mengklasifikasikan 2,353 daripada kes yang dilaporkan sebagai komuniti, kes import (4,217) dan 54,516 membabitkan penghuni asrama.

Singapura mempunyai enam kluster Covid-19 pada masa ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 11:32 AM