PESERTA, Yahya Jaafar (tengah) bersama kumpulannya mengasingkan terung panjang mengikut gred sebelum dihantar ke PPK Kluang untuk dipasarkan. FOTO Adnan Ibrahim
PESERTA, Yahya Jaafar (tengah) bersama kumpulannya mengasingkan terung panjang mengikut gred sebelum dihantar ke PPK Kluang untuk dipasarkan. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Hasil penat lelah sekumpulan pesara kerajaan mengusahakan tanah terbiar seluas kira-kira 1.4 ekar di Taman Sri Lambak, dekat sini, sejak Julai lalu kini membuahkan hasil.

Mereka kini mampu menjana pendapatan hampir RM1,500 dalam tempoh seminggu melalui Projek Fertigasi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cekal Azam.

Ketua Projek yang juga Pengerusi KRT Cekal Azam, Ismail Salleh, 69, berkata, projek dibahagi kepada tiga kumpulan dianggotai antara tiga hingga empat ahli KRT yang menanam terung panjang dan cili.

Katanya, sejak memulakan projek ini, mereka berkampung di tanah lapang berhampiran Jalan Cekal 10 di Taman Sri Lambak antara dua hingga tiga jam pada waktu pagi dan petang untuk bercucuk tanam.

"Pada asalnya tujuan kami mengusahakan projek ini adalah untuk memanfaatkan tanah yang terbiar sejak 20 tahun lalu disamping mengelakkan ia menjadi tempat pembiakan nyamuk serta binatang berbisa," katanya ketika ditemui hari ini.

Ismail berkata, selepas mengusahakan tanaman pada 13 Julai lalu, kini kumpulan yang membuat tanaman terung panjang sudah boleh menuai hasil dengan kira-kira 350 kilogram dengan kekerapan sebanyak tiga kali menuai dalam tempoh seminggu.

"Manakala kumpulan yang menanam cili baharu memulakan tuaian hari ini dan dianggarkan kira-kira 25 kilogram mampu diperolehi dan ianya akan terus meningkat untuk setiap kali menuai antara tiga hingga empat kali seminggu.

"Tanaman ini akan dipasarkan ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang menjadi orang tengah untuk mengedarkannya ke pasar raya sekitar Kluang selain kedai runcit di taman perumahan berhampiran," katanya.

Ismail berkata, pihaknya bersyukur dengan kebenaran mengusahakan tanah terbiar itu kerana mampu membuahkan hasil lumayan disamping memenuhi masa lapang setiap hari dengan kerja bermanfaat.

"Penduduk di taman ini serta kawasan perumahan berhampiran juga boleh datang terus menemui kami untuk mendapatkan terung panjang atau cili yang segar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 12:02 PM