SAARANI Mohamad. FOTO Bernama
SAARANI Mohamad. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, dititahkan sekali lagi untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Beliau memberi pengesahan itu ketika ditanya media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 1444H/ 2022M di sini.

Ditanya sama ada titah menghadap itu ada kaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Saarani sekadar berkata, beliau sendiri masih tidak tahu tujuan dipanggil menghadap.

"Insya-Allah, hari ini saya akan menghadap (Sultan Nazrin) selepas balik daripada majlis ini.

"Saya memang dititahkan menghadap tadi namun saya tidak pasti apa tujuannya. Tunggu sehingga pihak istana buat pengumuman," katanya.

Sesi menghadap itu dipercayai berkaitan keputusan permohonan pembubaran Dun Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Rabu lalu, Saarani dilapor berkata, Sultan Nazrin belum memberi perkenan untuk pembubaran Dun Perak ketika sesi sembah menghadap antara beliau dan baginda di Istana Kinta di sini, selain menambah yang pengumuman mengenai keputusan permohonan itu akan dilakukan selepas baginda membuat pertimbangan sewajarnya.

Sementara itu, berkaitan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak, semua anugerah disampaikan oleh Sultan Nazrin yang mencemar duli berkenan menghadiri majlis berkenaan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan EXCO.

Antara anugerah disampaikan ialah Anugerah Sekolah Terbaik, Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Hafiz Muda, Sijil Pengajian Masjid, Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Jasamu Dikenang.

Anugerah Khas Pendidik diberi kepada bekas Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan JAIPk Mohamad Nasar Kurdi.

Majlis turut menyaksikan Sultan Nazrin melancarkan buku Al-Syahadah Al-I'dadiah Ad-Diniah iaitu buku bagi pemantapan bahasa Arab sebagai persediaan kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian di Timur Tengah.

Baginda turut melancarkan Kurikulum Standard Asas Pengajian Islam OKU (orang kurang upaya) Negeri Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 12:38 PM