MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Kompleks Rakan Muda, Batu 42. FOTO Safuri Kamarudin
MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Kompleks Rakan Muda, Batu 42. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: "Kami anak-beranak sudah pindahkan barang berharga lebih awal ke tempat selamat kerana bimbang hujan turun berterusan dan berlaku banjir," kata Norhati Md Yusof.

Norhati, 54, dari Kampung Carok Siki di sini, antara 149 penduduk membabitkan 46 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Rakan Muda, Batu 42, hari ini, selepas kediaman mereka terjejas banjir.

Katanya, rumah mereka dimasuki air awal pagi tadi dan terpaksa berpindah ke PPS Kompleks Rakan Muda.

"Kami berpindah tengah hari ke PPS kerana air masih bertakung dalam rumah dan dinasihatkan berpindah bagi mengelak kemungkinan banjir lebih teruk dengan hujan masih turun.

"Demi keselamatan diri, kami sekeluarga berpindah ke PPS," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Abd Raof, 65, berkata, hujan lebat semalam menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke penempatan mereka.

Dia yang uzur dan sakit lutut terpaksa menggunakan kerusi roda dan berpindah ke PPS hari ini.

"Saya terpaksa berpindah kerana air semakin naik serta bimbang berlaku kejadian buruk dan terperangkap," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, setakat 7 malam ini seramai 149 penduduk ditempatkan di PPS susulan rumah mereka dinaiki air pagi tadi.

"Rata-rata penduduk tinggal berdekatan tebing Sungai Ketil, ada rumah yang masih digenangi air dan bimbang hujan lebat berterusan sehingga malam," katanya.

Katanya, bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan perkhidmatan kesihatan Kementerian Kesihatan turut disediakan bagi memantau warga emas dan pesakit uzur di PPS itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 10:24 PM