PENERIMA Anugerah Keluarga Mithali Datuk Abd Rasid Nopiah (tengah), Anugerah Pengamal Media Abd Razak Mohd Ali (kanan) dan Anugerah Pendakwah Muhammad Misyaqirin Thien Abdullah (kiri) bergambar bersama pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak. FOTO Bernama
PENERIMA Anugerah Keluarga Mithali Datuk Abd Rasid Nopiah (tengah), Anugerah Pengamal Media Abd Razak Mohd Ali (kanan) dan Anugerah Pendakwah Muhammad Misyaqirin Thien Abdullah (kiri) bergambar bersama pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kemeriahan sambutan Maulidur Rasul di seluruh negara hari ini tetap dirasai meskipun kebanyakan negeri mengadakan majlis secara dalam talian tanpa kehadiran orang ramai.

Sambutan norma baharu ini adalah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan pandemik Covid-19 terus berkurangan di seluruh negara.

Pemimpin negeri yang hadir dalam sambutan Maulidur Rasul kali ini mengingatkan umat Islam supaya mencontohi akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW selain meneruskan usaha membendung Covid-19.

Di KEDAH Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan seluruh rakyat jelata sentiasa bekerjasama dalam mematuhi Pelan Pemulihan Negara termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ia sebagai strategi untuk peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan Kedah berterusan sepanjang masa, titah baginda semasa sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M peringkat Negeri Kedah secara dalam talian hari ini.

"Kukuhkan perpaduan sesama kita dan budayakan nilai-nilai murni, selaras dengan garapan akhlak terpuji ajaran Nabi Muhammad SAW," titah Sultan Sallehuddin.

Sempena sambutan kali ini baginda turut memperkenan penganugerahan Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Negeri Kedah kepada Pengetua Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Alor Setar Mohamad Zaki Husin dan Anugerah Khas Maulidur Rasul peringkat Negeri Kedah kepada tujuh penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Di PAHANG Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan sambutan Maulidur Rasul secaratertutup bagi mematuhi SOP di sebuah hotel di Kuantan.

Majlis yang membabitkan aktiviti tazkirah dan nasyid itu turut disiarkan secara langsung di media sosial rasmi kerajaan negeri.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman menyeru umat Islam agar mencontohi keperibadian dan menuruti teladan akhlak terpuji Nabi Muhammad SAW.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, umat Islam adalah kumpulan terbesar di negeri ini seharusnya menyumbang ke arah meningkatkan keharmonian demi kesejahteraan negeri.

"Letakkan diri sebagai insan yang terbaik supaya boleh menjadi ilham kepada orang sekeliling," katanya ketika merasmikan Kempen Kenali Nabi Muhammad, sempena sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021, anjuran Gabungan Dakwah Malaysia Pulau Pinang secara maya hari ini.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada 10 penerima membabitkan pelbagai kategori di atas sumbangan dan khidmat bakti masing-masing sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri.

Pelbagai program turut diadakan bagi menyemarakkan sambutan tahun ini seperti Melaka Berselawat, Forum Perdana Tausiyah Hikmah, Majlis Bacaan Yasin Perdana dan sebagainya yang diadakan secara dalam talian di Auditorium Masjid Al-Azim di sini. Hadir sama ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Di SABAH, sambutan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dan kehadiran tetamu yang terhad.

Juhar ketika menyampaikan perutusan pada majlis itu mengingatkan umat Islam di Sabah agar tidak mengabaikan kewajipan mentransformasi akhlak ke arah yang lebih baik selain mempertahankan perpaduan dalam kepelbagaian agama dan bangsa.

"Saya berkeyakinan rakyat negeri Sabah adalah model terbaik dalam melestarikan semangat perpaduan sejati merentasi ideologi politik, budaya mahupun kepercayaan," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 2:37 PM