Orang ramai mengunjungi tapak warisan UNESCO di Lebuh Armenian atau dikenali ‘Penang Street Art’. - FOTO NSTP
Orang ramai mengunjungi tapak warisan UNESCO di Lebuh Armenian atau dikenali ‘Penang Street Art’. - FOTO NSTP
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Industri pelancongan tempatan dijangka mendapat manfaat secara langsung daripada pengumuman Bajet 2023 yang dibentangkan hari ini.

Pengasas, Timbalan Pengerusi dan Penasihat Koperat Avisena Healthcare Sdn Bhd, Dr Omar Abd Hamid berkata, Malaysia terbukti menjadi destinasi utama pelancongan kesihatan di Asia Tenggara selepas Thailand.

"Kualiti pakar-pakar perubatan dan perkhidmatan yang tinggi serta kos yang sangat kompetitif adalah kekuatan Malaysia. Dengan keadaan ekonomi yang sangat mencabar sekarang, bajet RM20 juta yang disediakan kepada Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) adalah memadai bagi memperkukuhkan pelancongan kesihatan di negara ini.

"Peruntukan ini perlu disemak dan dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya kepada Harian Metro.

Bagi syarikat pengurus acara sukan, Bolt Event Management, ia melihat, RM90 juta disediakan dalam bentuk geran sepadan untuk program seperti Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN) mampu menaikkan lagi bajet untuk penggiat pelancongan sukan membuat promosi dan memperkenalkan acara sukan ke tahap antarabangsa dan domestik.

Pengarah Media dan Komunikasinya, Azlihana Abdul Rahim berkata, peruntukan tambahan yang dibentangkan di Bajet 2023 adalah penambahbaikkan bersesuaian dengan norma baharu pasca-Covid-19.

"Ini bagi mengaktifkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya yang terjejas teruk dengan mengambil kira aspek promosi pelancongan secara digital," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Saifuzzaman Ibrahim turut melihat geran yang diberikan kepada pemain industri pelancongan membantu memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri yang lain.

Jelasnya, industri pelancongan memberi kesan domino kepada banyak industri lain seperti peruncitan, makanan dan minuman dan perkhidmatan.

"Lebih menarik, kerajaan juga memberi tumpuan kepada sektor pelancongan kesihatan kerana kita tahu Malaysia ada perkhidmatan baik di dalam bidang itu.

"Dalam masa sama, di sebalik kelemahan ringgit, kita boleh ambil kesempatan kepada pelancongan asing bagi menikmati fasiliti kesihatan disediakan pemain industri tempatan," katanya.

Menurutnya, cadangan pemotongan cukai khas kepada hotel membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian sehingga RM500,000 membantu pengusaha tempatan terutama golongan luar bandar.

"Perkara ini menarik kerana kerajaan ingin memastikan bantuan diberi mampu memberi limpahan ekonomi kepada peniaga lain terutama perniagaan mikro," katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif melihat inisiatif itu sebagai pendekatan pelbagai arah.

"Penumpuan utama difokuskan untuk kembali menarik pelancong asing ke negara kita terutama pelancong kesihatan. Pada masa sama, pelbagai inisiatif diberi untuk memastikan sektor industri pelancongan bersiap sedia dari segi menaik taraf infrastruktur dan kecukupan pekerja.

"Tidak dilupakan inisiatif menggalakkan pelancongan tempatan supaya industri hospitaliti pulih seperti sebelum pandemik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:35 PM