Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengumuman beberapa inisiatif bagi sektor pelancongan dalam Bajet 2022 dilihat menyeluruh apabila hampir semua permohonan bantuan yang diusulkan kepada kerajaan diluluskan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya dengan kerjasama pelbagai pihak menghantar usul permohonan bantuan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2022.

"Kami menyambut baik pengumuman inisiatif bagi sektor pelancongan dalam bajet kali ini kerana boleh dikatakan hampir semua permohonan bantuan yang dikemukakan sebelum ini ada dalam bajet berkenaan.

"Dengan pengumuman inisiatif ini, ia diharap dapat membantu merancakkan sektor pelancongan di negara ini yang baru beroperasi semula," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Khalid berkata, pelaksanaan bajet yang diumumkan itu perlu dilakukan segera sebaik saja menginjak tahun hadapan bagi memastikan kelancaran perkembangan sektor pelancongan.

"Apa yang diumumkan itu (inisiatif) adalah bagus, namun kita juga harus melihat dari segi pelaksanaan penyaluran bajet berkenaan kepada kumpulan sasar seperti dinyatakan dengan segera.

"Ini kerana ada keperluan untuk kita melaksanakan inisiatif itu segera terutama dari segi penyelenggaraan infrastruktur serta pemberian geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada hotel bajet supaya sektor ini dapat terus berkembang dengan cepat seperti dirancang," katanya.

 Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa inisiatif utama bagi sektor pelancongan dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

 Ini termasuk pelaksanaan Program Subsidi Upah bersasar kepada pemain industri pelancongan dan pemberian bantuan khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tempoh tiga bulan dengan peruntukan RM85 juta.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi penyelenggaraan infrastruktur pelancongan termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad serta Lembah Bujang di Kedah.

Selain itu, terdapat pemberian geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah MOTAC serta geran pembaikan kepada pemilik inap desa berdaftar dengan

peruntukan RM30 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:12 PM