TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan melakukan khianat dan memasukkan dadah. FOTO Faiz Anuar.
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan melakukan khianat dan memasukkan dadah. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penganggur didenda RM10,000 atau 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan khianat dengan merosakkan kenderaan milik dua abangnya, September lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas tertuduh, Norazizul Lizam Miskun, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Dia dituduh sengaja melakukan khianat iaitu dengan cara mengambil pasu bunga, lalu menghempas pada cermin kereta milik abangnya, Noor Hadi, 53, dan Nor Baiza, 49, sehingga menyebabkan cermin pecah serta mangsa kerugian RM25 atau lebih.

Kesalahan dilakukan di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini pada 4 petang, 25 September 2022 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Keseksaan.

Di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, tertuduh turut mengaku bersalah memasukkan dadah jenis THC, Amphetamine, Methamphetamine ke dalam tubuh badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 26 September 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk serahan laporan patologi sebelum hukuman dijatuhkan dan tertuduh dibenar diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Norazizul juga berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap anggota polis, Mohd Ridzuan Marsudi, 32, dengan menggunakan parang yang mungkin boleh menyebabkan kematian.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie di Mahkamah Sesyen di sini.

Mahkamah menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes itu dan tertuduh dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perintah tambahan, dilarang mengganggu atau mendekati mangsa dan saksi.

Terdahulu, semua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman, Saidah Fasihah Che Yusoff dan S Reetha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 3:27 PM