ANGGOTA polis mengiringi tertuduh (kanan) yang berdepan pertuduhan mencabul seorang wanita di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh (kanan) yang berdepan pertuduhan mencabul seorang wanita di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


GURU silat didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas tuduhan mencabul seorang wanita di sebuah hotel bajet di Kota Bharu, September lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Ahmad Syamim Rosli, 28, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita berusia 40 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatan di sebuah bilik hotel jam 12.30 tengah hari, pada 25 September lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faizuan Sulaiman menawarkan ikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 4:58 PM