Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norsyazwani Nasri


Sibu: Seorang wanita yang juga penjawat awam kerugian RM12,550 selepas terpedaya dalam urusan pembelian seutas gelang tangan berharga murah di laman sosial Facebook yang dibayar secara ansuran.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, terdahulu, mangsa yang berusia 45 tahun berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa sudah membuat bayaran RM12,550 secara ansuran sejak Januari hingga Mac lalu.

"Namun, gelang tangan 'pulut dakap' yang

ditempahnya melalui penjual dalam talian gagal diterimanya sehingga kini," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan berkaitan kes itu pada 2 Oktober lalu.

"Mangsa melakukan beberapa transaksi ke akaun bank diberi suspek malah suspek berjanji akan mengepos barang kemas itu ke alamat diberi mangsa.

"Selepas pembayaran dibuat, mangsa menghubungi suspek namun pelbagai alasan diberi namun barang kemas yang ditempah belum diterima hingga kini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan barangan kemas secara dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 2:13 PM