Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Muzik dangdut dan pelbagai muzik lain yang dipasang warga asing terlalu kuat sehingga mengganggu ketenteraman. Saya tak kisah jika mengadakan majlis kahwin namun tolonglah perlahankan muzik supaya tidak mengganggu orang lain," kata penduduk Kampung Datuk Keramat, di sini.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Azman, 60, berkata, kebanyakan penduduk di situ adalah warga asing yang didakwanya sudah menguasai 80 peratus rumah sewa di penempatan strategik ibu negara iaitu hanya kira-kira 10 minit atau kira-kira 4 kilometer dari bangunan ikonik KLCC.

Apa yang menjadi masalah, katanya, warga asing berkenaan bukan sahaja sudah membuat koloni di kawasan penempatan itu, malah turut membawa budaya dari negara asal.

"Ramai pemilik rumah sudah tidak menetap di Kampung Datuk Keramat dan ada segelintir daripadanya menyewakan rumah kepada warga asing.

"Saya rasa banyak tempat lain jadi koloni warga asing. Jadi kita (penduduk tempatan), takkan nak keluar daripada tempat kita.

"Sebagai contoh muzik dipasang terlalu kuat menyebabkan kami serba tak kena kerana tidak selesa.

"Itu budaya mereka bukan budaya kita. Saya harap pihak berkuasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh ambil tindakan. Harapnya bukan sahaja diberikan amaran malah saman yang tinggi untuk pengajaran," katanya.

Lebih menghairankan, Azman mendakwa ada rumah sama yang mengadakan majlis perkahwinan berkali-kali dan beranggapan rumah itu mungkin membuat sewaan atau memang lokasi mengadakan majlis perkahwinan warga asing terbabit.

Katanya, setiap kali majlis diadakan bunyi bingit muzik akan berlangsung sehingga hampir lewat malam dan hanya berhenti sewaktu azan berkumandang.

"Kami pernah menghubungi polis dan sebaik polis tiba, kelantangan daripada pembesar suara akan diturunkan, tetapi ia berulang apabila polis beredar," kata anak jati ibu kota itu.

KAMPUNG Datuk Keramat. FOTO Arkib NSTP
KAMPUNG Datuk Keramat. FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, Unit Kawalan Pencemaran di bawah Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyiasat dan mengeluarkan notis sekiranya jelas bunyi bising muzik melebihi had dan timbul kacau ganggu di kawasan kediaman.

Jurucakap Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL berkata, DBKL juga akan memberikan nasihat atau amaran untuk si pelaku mengurangkan kelantangan bunyi muzik dan kompaun akan dikenakan jika keadaan masih berlarutan yang menunjukkan nasihat tidak diendahkan.

"Kami akan menjalankan siasatan dalam tempoh tiga hari dari tarikh aduan yang diterima dari pelbagai sumber seperti Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam Bersepadu (ISPAA), WhatsApp, e-mel, surat, media cetak, media elektronik dan sebagainya.

"Pegawai penyiasat akan turun ke lapangan bagi menyiasat dan membuat penilaian awal dengan menjalankan pengukuran bunyi bising jika aduan didapati berasas," katanya.

Jurucakap berkenaan berkata, sekiranya bacaan pengukuran di lapangan melebihi paras bunyi bising yang ditetapkan dalam Garis Panduan Perancangan Untuk Had dan Kawalan Bunyi Persekitaran oleh Jabatan Alam Sekitar, Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan di bawah Seksyen 82 dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dikeluarkan.

Menurutnya, notis itu mengkehendaki pihak yang menimbulkan kacau ganggu mengambil langkah atau tindakan untuk menghapuskan kacau ganggu dalam tempoh ditetapkan iaitu tujuh hingga 14 hari.

"Siasatan susulan akan dilakukan setelah notis tamat tempoh. Sekiranya masih terdapat kacau ganggu, kompaun akan dikenakan mengikut Seksyen 82(5) dalam akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:53 PM