KUARI di Persiaran Kelicap, Sunga Ara di sini, yang diarah supaya menghentikan operasi serta merta oleh JAS Pulau Pinang. FOTO IHSAN JAS
KUARI di Persiaran Kelicap, Sunga Ara di sini, yang diarah supaya menghentikan operasi serta merta oleh JAS Pulau Pinang. FOTO IHSAN JAS
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang hari ini, mengarahkan pemaju perumahan dan operator kuari di Persiaran Kelicap, Sunga Ara di sini, menghentikan semua operasi serta merta susulan melanggar peraturan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Notis arahan itu diberi menerusi serahan tangan selepas kedua-duanya didapati masih menjalankan aktiviti kuari selepas tempoh sah Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) tamat pada 7 Disember tahun lalu.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, selepas tempoh itu, JAS menerima aduan penduduk yang tinggal kira-kira 70 meter dari tapak itu mengenai kuari yang masih beroperasi dan menimbulkan kacau ganggu.

Katanya, menerusi intipan menggunakan dron dan siasatan bersama pasukan penguat kuasa minggu lalu, mendapati kedua-duanya masih menjalankan aktiviti pemecahan batu dan menggunakan meriam air hingga menghasilkan bunyi bising serta menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

"Pemaju dan kontraktor kuari turut dipanggil dan dinasihati supaya mematuhi arahan JAS untuk tidak menjalankan aktiviti kuari selepas tempoh kelulusan laporan EIA itu tamat.

"Tapak ini juga pernah menerima beberapa Notis Arahan dan Notis Berhenti Kerja sepanjang operasi atas isu kacau ganggu yang sama," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Tapak berkenaan mendapat kelulusan bagi membangunkan projek perumahan mengikut kontur pada tahun 18 Ogos 1994 namun berikutan tertangguh beberapa kali, pemaju mendapatkan pelanjutan tempoh pengkuarian antara 2013 hingga 2021.

Namun, permohonan perlanjutan kuari ini tidak dilanjutkan lagi selepas zon penampan terkini tidak mencukupi sehingga mencetuskan puluhan aduan berterusan daripada penduduk setempat berkaitan isu gegaran, bunyi bising, habuk, runtuhan dan serpihan batu.

Mengulas lanjut Sharifah Zakiah berkata, menerusi notis itu juga, JAS mengarahkan supaya supaya pemaju mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi aktiviti perumahan mengikut kontur dalam tempoh enam bulan jika masih berminat bagi menjalankan aktiviti berkenaan.

Katanya, jika tidak dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan, pemaju itu dianggap tidak berminat meneruskan aktiviti perumahan.

"Sebarang permohonan di masa akan datang tertakluk kepada keperluan menjalankan kajian EIA yang baru dan tiada sebarang kerja dibenarkan dijalankan di tapak sehingga EMP dikemukakan serta disahkan oleh JAS.

"Berikutan tapak ini tertakluk kepada kelulusan EIA, maka tiada aktiviti boleh dijalankan selepas tempoh kelulusan pengkuarian mengikut Perintah EIA tamat dan tidak dilanjutkan walaupun tapak masih ada permit dan kelulusan kerja tanah yang dikeluarkan agensi lain.

"JAS kini dalam proses penyediaan kertas siasatan bagi membawa pemaju serta kontraktor ke mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 34 A, Seksyen 31 dan 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 4:51 PM