Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti air atau menghampiri tempat berisiko seperti pantai dan sungai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak kejadian lemas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, cuaca tidak menentu dan fenomena ombak besar boleh mendatangkan risiko bagi pengunjung yang melakukan aktiviti air ketika ini.

Beliau berkata, Terengganu turut menerima tempias ekoran kejadian ribut taufan melanda Filipina dan Vietnam yang mengakibatkan laut bergelora dan ombak besar.

"Kita mungkin akan terkena tempias, jadi orang ramai dinasihatkan tidak mengambil kesempatan untuk mandi manda atau bermain di pesisir pantai ketika musim tengkujuh.

"Orang ramai dinasihatkan menjauhi pantai, sungai dan sebagainya bagi mengelak kehilangan nyawa, ini bukan masa atau musim untuk kita bermain air.

"Bagi memastikan tiada aktiviti di kawasan pantai sepanjang musim tengkujuh ini, kita akan membuat rondaan setiap pagi dan petang di kawasan pantai berisiko di seluruh negeri," katanya ketika meninjau keadaan laut di Pantai Tanjung Gelam di sini, semalam.

Md Hilman berkata, seramai 16 orang lemas ketika musim tengkujuh Monsun Timur Laut (MTL) pada 2018 manakala seramai 12 orang direkodkan meninggal dunia akibat lemas pada 2019.

Beliau berkata, pihaknya mahu graf itu menurun atau kalau boleh, tiada langsung kalau boleh tiada langsung kematian akibat lemas direkodkan pada tahun ini.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi musim tengkujuh, Md Hilman berkata, seramai 835 pegawai dan anggota termasuk anggota bomba sukarela bersedia digerakkan pada bila-bila masa.

Katanya, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur turut digerakkan untuk membantu dalam operasi banjir dengan kekuatan 23 pegawai dan anggota selain akan mendapat bantuan daripada JBPM dari negeri lain.

Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) memantau keadaan ombak dan hakisan semasa tinjauan menjelang musim terkujuh di Pantai Tanjung Gelam, Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI
Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) memantau keadaan ombak dan hakisan semasa tinjauan menjelang musim terkujuh di Pantai Tanjung Gelam, Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 3:25 PM