MOHD Nadzri (tiga kiri) menunjukkan rotan yang dirampas di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Demak Laut, Kuching. FOTO Melvin Joni
MOHD Nadzri (tiga kiri) menunjukkan rotan yang dirampas di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Demak Laut, Kuching. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kuching: Cubaan sebuah syarikat menyeludup 106,730 kilogram rotan ke luar negara gagal apabila dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.

Kesemua rotan dianggarkan bernilai RM586,920 dan cukai yang terbabit sebanyak RM144,085 itu ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Kuching ketika melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Senari di sini, pada 11.15 pagi, 21 September lalu.

Pemangku Pengarah JKDM Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata, kesemua rotan itu dibawa menggunakan lapan buah kontena yang diikrar sebagai 'pulp paper' untuk dieksport ke luar negara.

"Pemeriksaan awal mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen Kastam yang diikrar oleh syarikat.

"Oleh demikian, semua kontena berkenaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Demak Laut di sini, dan hasil pemeriksaan rapi menemui muatan rotan tanpa permit yang sah dari agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ahmad Mazuki Yasin.

Mohd Nadzri berkata, berdasarkan pemeriksaan oleh JKDM mendapati kesemua rotan itu belum lulus JKDM kerana tidak mempunyai permit yang sah daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) serta duti eksport belum dibayar.

Sehubungan itu, katanya, ejen penghantaran serta pemilik syarikat terbabit iaitu dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun ditahan.

Katanya, modus operandi syarikat terbabit adalah dengan membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak bagi tujuan mengelak daripada mengemukakan permit daripada agensi berkaitan serta mengelak daripada membayar cukai.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 2:31 PM