Sazali Mohamad (kanan), melihat barang rampasan berkaitan kes Sindiket Penyeludupan Minuman Keras di Forest City pada sidang media di Menara Kastam Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Sazali Mohamad (kanan), melihat barang rampasan berkaitan kes Sindiket Penyeludupan Minuman Keras di Forest City pada sidang media di Menara Kastam Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Cubaan tiga lelaki membawa keluar minuman keras tidak bercukai keluar dari Forest City, Gelang Patah di sini, berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamed berkata, pasukannya mengesan tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima bernombor pendaftaran palsu dan mencurigakan pada 10 malam Isnin lalu.

Katanya, pihaknya mengejar dan kenderaan berjaya ditahan di Lebuhraya Iskandar Puteri dan Jalan Utama Kampung Baru Senai di sini, sebelum pemeriksaan menemukan sejumlah arak di dalam semua MPV itu yang ditutup dengan kain hitam.

"Dua pemandu kenderaan iaitu lelaki tempatan berusia 20 dan 30-an berjaya ditahan, namun seorang lagi pemandu berjaya melarikan diri.

"Anggaran 14,400 tin minuman keras yang disita sebanyak RM38,410 dan anggaran cukai terlibat berjumlah RM104,915. Turut disita tiga MPV itu dianggarkan bernilai RM150,000," katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.

Menurut Sazali, hasil siasatan mendapati sindiket itu menggunakan kenderaan persendirian dan aktif melakukan kegiatan itu pada waktu malam.

"Dua lelaki yang ditahan telah dilepaskan di bawah Seksyen 116 (5) Akta Kastam 1967 dengan wang jaminan RM10,000 setiap orang.

"Usaha mengesan pemilik kenderaan turut giat dilakukan," katanya memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berlainan Sazali berkata, pihaknya turut menumpaskan sindiket pembuatan arak di rumah teres di Skudai, hasil serbuan pada 1 tengah hari, 2 April lalu.

"Ketika serbuan rumah berkunci dan tidak berpenghuni, namun pemeriksaan menemukan sejumlah arak tidak berjenama selain pelbagai peralatan untuk membuat minuman keras.

"Antaranya, tong drum berisi cecair disyaki alkohol, botol kosong, penutup botol, kotak kosong, label jenama minuman, setem Kastam palsu dan alatan memproses dan botol arak," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan arak dan cukai itu berjumlah RM153,111 manakala peralatan dianggar RM5,000, manakala kses disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:41 PM