Zuliaty Zulkiffli


Yan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu diteruskan di kawasan Titi Hayun dan Batu Hampar, dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah petugas juga bertambah kepada 430 orang dari pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata, berdasarkan operasi, pasukan penyelamat sudah mengenalpasti lokasi mereka dilaporkan hilang, tetapi kedua-duanya belum ditemui.

"Kita tak boleh cakap 'mayat' kerana mungkin mangsa ditemui masih hidup, namun usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya memaklumkan kepada pihak kami bagi memudahkan pencarian dilakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji.

Mazlan berkata, setakat ini aset yang digunakan dalam pencarian dan jumlah petugas mencukupi.

Beliau berkata, aset yang digunakan dalam operasi ini membabitkan Unit Dron, helikopter, Unit Anjing Pengesan K-9 serta bot.

"Kita juga mendapat bantuan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Setakat hari kelima pencarian ini, kita masih meneruskan operasi di kawasan Titi Hayun kerana ia membabitkan seorang pekerja binaan yang sedang membina pondok dusun di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu bekas imam yang hilang tetapi katilnya ditemui di Batu Hampar, " katanya.

Mazlan berkata, keperluan aset akan ditambah mengikut keperluan memandangkan kejadian itu menyebabkan aliran air pecah empat bahagian.

Namun, katanya, tumpuan diberikan di kawasan Titi Hayun kerana aliran air besar di situ.

Dalam kejadian Rabu lalu, empat terkorban dalam kejadian banjir dan kepala air di Gunung Jerai menyebabkan banjir lumpur di beberapa rumah di Yan dan Merbok, Kuala Muda.

Mangsa yang maut adalah Ahmad Din, 68; Shahruzi Mohamad, 53; Zainol Morad, 66 dan Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika melawat Pos Kawalan Bomba (PKB) bagi meninjau perjalanan operasi SAR di Titi Hayun. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika melawat Pos Kawalan Bomba (PKB) bagi meninjau perjalanan operasi SAR di Titi Hayun. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 3:10 PM