Zuliaty Zulkiffli


Yan: Pasukan khas iaitu Bomba Komuniti bakal ditempatkan di kawasan tiga lokasi panas yang kerap berlakunya kejadian kepala air di daerah ini.

Antara tiga lokasi terbabit adalah kawasan peranginan air terjun Titi Hayun, Batu Hampar dan Seri Perigi.

Penubuhan pasukan itu juga bertujuan sebagai langkah persediaan berkemungkinan tragedi kepala air yang pernah melanda Gunung Jerai dan Titi Hayun tahun lalu berulang kembali.

Pengerusi Sekretariat Bencana Daerah Yan merangkap Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah berkata, pihaknya sudah mengaktifkan pengurusan bencana di daerah ini dengan bermesyuarat dengan semua agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasukan penyelamat untuk memastikan semuanya dalam keadaan bersiap sedia.

"Jabatan teknikal seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sebagainya banyak bantu menyalurkan info terkini keadaan cuaca, aliran sungai dan sebagainya.

"Kami sentiasa berhubung untuk memastikan sentiasa bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan berkaitan bencana di daerah ini," katanya ketika ditemui pada Program Simulasi Menghadapi Bencana Daerah Yan di Air Terjun Seri Perigi di sini, hari ini.

Mohamad Subhi berkata, JBPM Kedah melancarkan penubuhan Bomba Komuniti di Zon 2 yang membabitkan daerah Yan, Sik dan Kuala Muda di Pantai Murni, baru-baru ini.

Beliau berkata, peranan Bomba Komuniti sangat penting untuk membantu petugas barisan hadapan dan menjadi sebagai mata dan telinga agensi penyelamat jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Mereka ini turut berada di barisan hadapan di peringkat komuniti, kampung, pekan dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat berkaitan penduduk setempat.

"Setiap maklumat yang mereka ada akan disalurkan kepada agensi berkaitan dengan cepat bagi membolehkan operasi penyelamatan segera dilakukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, berdasarkan kepada situasi lalu, pihaknya melihat semua agensi ini berkerjasama dan mereka akan memberi tumpuan kepada lokasi tertentu untuk berlakunya kejadian ini.

Beliau berkata, bukan saja agensi kerajaan yang terbabit malah penduduk setempat juga turut terbabit dengan wujudnya Bomba Komuniti dan kerjasama daripada penghulu juga turut membantu jadi mata dan telinga untuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa dalam mempercepatkan proses penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:14 PM