Oleh Balqis Jazimah Zahari


Tanjung Malim: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes culik membabitkan murid sekolah yang hangat diperkatakan di beberapa negeri sejak kebelakangan ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia bagi membolehkan pihak kementerian melakukan tindakan sewajarnya berhubung isu berkenaan.

Katanya, pihaknya akan turut membuat kajian secara lebih mendalam membabitkan pelbagai aspek susulan isu berkenaan.

"Ada bermacam-macam laporan (kes culik) jadi sebab itu kita bekerjasama rapat dengan PDRM untuk memastikan kita mengetahui semua perkara yang dibangkitkan bagi mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Dalam konteks bagaimana bentuk laporan itu kita serahkan kepada pihak polis. Cuma dalam konteks apabila berlaku kes berkaitan dengan murid sekolah dalam apa jua keadaan, pihak polis akan berhubung dengan pihak sekolah dan pihak kementerian," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari III di Pusat Perlindungan Hidupan Liar (PKHL) di sini hari ini.

Radzi berkata, apa yang penting adalah untuk ibu bapa mengambil pendekatan selamat dan mendidik anak-anak berkaitan keselamatan bukan sahaja ketika berada di sekolah tetapi di mana-mana sahaja.

"Kita tak kata semua tempat ada bahaya tetapi murid perlu memahami risiko ini apakah tindakan yang sewajarnya," katanya.

Ketika ditanya pemberita berkenaan beberapa berita palsu berkaitan isu culik kanak-kanak termasuk yang terbaru kes di Perak murid yang mereka-reka cerita, Radzi berkata perkara itu diserahkan kepada polis untuk siasatan.

"Kes ini berlaku di luar sekolah, masa (murid atau pelajar) dalam perjalanan balik dan sebagainya. Di peringkat kementerian kita juga mempunyai maklumat yang agak terhad.

"Pihak polis yang akan menentukan siasatan dan apa asas sebenarnya setiap laporan yang dibuat itu. Jadi, kita tidak mahu spekulasi apa-apa, kerana ia berada di bawah bidang kuasa PDRM," katanya.

Radzi berkata, bagaimanapun pihaknya akan meneliti secara lebih mendalam dalam setiap laporan yang diberikan murid berhubung isu culik.

"Kita akan kaji dan meneliti sebenarnya kebenaran cerita yang dikatakan (murid), sebab kita tidak mahu melihat pada luaran sahaja dan terus memberi kesimpulan pada kes itu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa kes cubaan culik di beberapa negeri membabitkan kalangan murid sekolah termasuk yang terbaharu di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 4:01 PM